Langkau ke kandungan utama

Sesiapa Yang Menolak Jemaah Ahmadiyah Adalah Anak Penzina.

 



TUDUHAN:

SESIAPA YANG MENOLAK JEMAAH AHMADIYAH ADALAH ANAK PENZINA.

 

JAWAPAN:

Tuduhan ini merupakan salah satu tuduhan yang paling terkenal terhadap Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as. Tuduhannya adalah bahawa Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as dalam tulisannya mengatakan bahawa mereka yang tidak menerimanya sebagai Nabi Isa dan Imam Mahdi yang dijanjikan adalah "Dhuriyyatul Baghaya" iaitu anak penzina. Tuduhan ini adalah jelas tidak berasas apabila dibaca dan difahami keseluruhan petikan berkaitan tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as.

Penentang Ahmadiyah menterjemahkan tulisan Hazrat MIrza Ghulam as seperti ini, "Setiap Muslim menerima saya dan mengesahkan kebenaran dakwaan saya (sebagai Al Masih as dan Imam Mahdi yang dijanjikan) kecuali mereka yang merupakan anak-anak penzina."

Terjemahan penentang Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as sama sekali salah dan bertentangan dengan apa yang dinyatakan serta dimaksudkan oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as. Pada hakikatnya tulisan tersebut tidak merujuk kepada umat Islam dan tidak pula merujuk kepada dakwaan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as. Sebaliknya merujuk kepada keinginan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as untuk mengkhidmati Islam. Dalam Aina-e-Kamalat-e-Islam, halaman 547 Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menulis, "Sejak usia muda, saya selalu mempunyai keinginan untuk mempertahankan Islam dan berjuang melawan hujah dan berdebat dengan umat Kristian dan Hindu” (Aina-e-Kamalat-e-Islam, halaman 547). Daripada tulisan Ini membuktikan bahawa tidak ada kaitan dengan umat Islam, ianya menekankan tentang perdebatan dengan orang Kristian dan Hindu. Tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as dengan sengaja disalahtafsir atau diselewengkan oleh penentang Ahmadiyah.

Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menyebutkan buku-buku yang ditulisnya memberikan manfaat kepada umat Islam. Buku-buku yang dimaksudkannya adalah seperti  Barahin-e-Ahmadiyyah, Surmah Chashm-e-Arya, Taudhi-e-Maram, Izala-e-Auham, Fath-e-Islam dan Dafu’ul Wasawis. Dalam bukunya, Aina-e-Kamalat-e-Islam, halaman 547-548, beliau telah  menulis, “Ini adalah buku-buku di mana setiap Muslim menumpahkan kasih dan sayang dan mereka (orang-orang Islam) mendapat manfaat dari kebijaksanaan mendalam yang tersembunyi di dalam buku-buku ini. Setiap orang menerima dan memberi kesaksian ke atas kesungguhan pelawaan saya (iaitu pelawaan agar menerima agama Islam), kecuali mereka yang Dhuriyyatul Baghaya; orang-orang yang di hati mereka telah Allah meterai” (Aina-e-Kamalat-e-Islam, halaman 547-548). Jelaslah bahawa ungkapan kata “Dhuriyyatul Baghaya” sama sekali tidak ditujukan kepada Umat Islam.

Selanjutnya dalam buku yang sama pada halaman 535, Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menjelaskan, "Pada akhirnya, Wahai Ratu! Saya menasihati anda bahawa umat Islam adalah pembantu anda yang istimewa; Dan mereka mempunyai keistimewaan dalam kedaulatan anda. Oleh itu, pandanglah ke arah umat Islam dengan pandangan yang eksklusif dan berikan sejenis pandangan yang menyenangkan mata mereka; Dan damaikanlah hati mereka dan jadikanlah mereka sebagai orang-orang yang dekat kepada anda; Dan hargailah mereka dengan kedudukan tertinggi” (A’ina-e-Kamalat-e-Islam, Halaman 535).

Hazrat Mirza Ghula Ahmad as memaklumkan kepada Ratu Victoria agar menghormati umat Islam dan juga menghargai mereka. Oleh itu di bahagian manakah dalam buku tersebut bahawa Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as memanggil  umat Islam sebagai Anak Penzina? Dalam halaman buku berkaitan sama sekali tidak disentuh tentang orang Islam. Kata bahasa Arab “da'wati” dalam buku tersebut tidak merujuk kepada dakwaan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as. Sebaliknya merujuk kepada pelawaan kepada umat Hindu dan Kristian agar menerima agama Islam.

Dalam buku yang sama pada halaman 388-389 Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menulis, "Demi Tuhan! Allah tahu bahawa saya adalah pencinta Islam dan saya berkorban untuk Nabi Suci saw, Penciptaan Yang Paling Sempurna dan saya adalah hamba kepada Ahmad saw Yang Terpilih, semenjak saya mencapai usia dewasa dan saya diberi kemampuan untuk menulis buku, adalah keinginan saya yang tulus untuk mengajak para penentang memeluk agama Islam sebagai agama yang bersinar dari Allah. Oleh itu saya mengirim sepucuk surat kepada setiap penentang dan mengajak orang tua dan muda menerima agama Islam" (A’inah-e-Kamalat-e-Islam, hlm. 388-389).

Selanjutnya berikut adalah terjemahan sebenar dari petikan berkaitan:   

"Setiap orang menerima ajakan saya kepada Islam (iaitu dari antara orang-orang bukan Islam, yang menjadi tajuk perbahasan dalam buku tersebut) kecuali mereka yang Dhurriyatul Baghaya."

Sekali lagi ditekankan bahawa tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad sama sekali tidak ditujukan kepada umat Islam tetapi ditujukan kepada umat Kristian dan Hindu yang menentang dan mencaci maki Nabi Muhammad saw. “Dhurriyatul Baghaya” adalah Bahasa Arab yang harus diambil maknanya dari sudut yang lebih luas serta dalam konteks pengertian Bahasa Arab itu sendiri.

Berdasarkan kepada kamus Tajul Urus, kata “al Baghy” adalah kata antonim kepada “ar rushd” yakni membawa maksud “petunjuk”. Oleh itu dari sudut makna Bahasa Arab “Dhuriyyatul baghaya” dengan jelas memberi maksud orang yang menolak kebenaran dan sirna dari petunjuk, inilah yang hendak disampaikan oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as dalam tulisannya mengenai umat Kristian dan Hindu. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as sama sekali tidak mengatakan bahawa umat Kristian dan Hindu adalah anak keturunan penzina disebabkan mereka menolak tabligh Islam yang disampaikan oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as. Berdasarkan kepada kamus Lisan ul Arab, kata “baghaya” boleh ditujukan kepada kaum perempuan dan  itu bukanlah kata penghinaan.

Selanjutnya banyak ayat-ayat dalam Al Quran menggunakan perkataan yang sama:

1.       “Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya (ghisyawah); dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar” (al Baqarah : 7-8).

2.       “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman (wal baghyi). Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (An Nahl : 91). Ayat ini sentiasa dibacakan dalam solat jumaat dan ianya tidak pernah diterjemahkan sebagai penzina. Namun penentang Ahmadiyah memberi terjemahan di luar konteks terhadap tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as, seolah-olah para penentang ini tidak mendapat petunjuk.

3.       “Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka (yabghuna) di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan” (Yunus : 24).

4.       “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas (labaghaw) di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata” (Ash Shuraa : 28).

5.       Terdapat juga dalam sebuah hadis di mana Abu Wael mengatakan, "Sebilangan besar pengikut Dajjal adalah orang Yahudi dan keturunan pemberontak" (Kitab al Fitan, Nuaim bin Hammad, 1534). Oleh itu dalam tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmas as, kata Bahasa Arab ابنبغاء diterjemahkan sebagai “keturunan pemberontak” bukannya  anak penzina.

6.       Dalam sebuah Qasidah oleh Sadullah dari Ludhiana disebutkan:

اذيتنى خبثافلست بصادق ان لم تمت بالخرى ياابن بغاء

"Engkau telah memberi aku kesedihan dengan kekasaranmu; Sekiranya sekarang Engkau tidak hancur dalam kehinaan, aku salah dalam tuntutanku Wahai orang yang memberontak!”  (Al-Hakam, Volume 11, No. 7, 24 February 1907, p. 13).

7.       Imam Baqirrh juga menulis dalam Furu-e-Kafi bahawa, "Demi Tuhan, semua orang itu adalah anak-anak Baghaya kecuali kita orang-orang Syiah". Ayat yang serupa juga ditulis oleh beliau dalam al Kafi, Jilid 8, Halaman 285-287.

8.       Bagaimana pula dalam penggunaan kata “Dhurriyatul Baghaya” oleh orang-orang Arab? Sebenarnya ini adalah kata kiasan sepertimana boleh ambil contoh dari kata “Dhurriyatul Syaitan”. Tidak bermakna seseorang itu secara fizikal adalah anak keturunan syaitan. Sebaliknya kata itu memberi kiasan bahawa kelakuan orang tersebut cenderong kepada kemungkaran. Demikian juga perkataan “Abu”, sepertimana gelaran yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang sahabat iaitu Abu Huraira yang bermaksud “Bapa Kucing”,  ini tidak bermakna beliau secara fizikal adalah bapa kepada kucing.

9.       Seorang musuh Rasulullah saw digelar sebagai Abu Jahal hanya bagi memberi gambaran bahawa orang tersebut walaupun bijaksana  tetapi jahil disebabkan menolak suatu kebenaran. Oleh itu tuduhan yang cuba menggambarkan keburukan terhadap Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as  adalah tidak wajar. Dhuriyyatul baghaya hanya sesuai diberikan makna bahawa seseorang mengikuti sifat-sifat syaitan yang terhindar dari hidayah sebagaimana penggunaan harian oleh orang Arab itu sendiri.

10.   Dalam tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as, beliau telah memuji umat Islam dan menyeru Ratu Victoria agar menghargai dan menghormati umat Islam.  Secara logiknya terjemahan ke atas tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as seharunya bersesuai dengan keseluruhan konteks tulisan tersebut. Oleh itu terjamahan para penentang Ahmadiyah sama sekali tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Bagaimana Ratu Victoria menghargai dan menghormati orang-orang Islam yang dianggap sebagai anak penzina?

Tulisan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as dalam pelbagai judul bukunya, menggambarkan betapa beliau amat mencintai Islam dan memberikan hormat kepada umat Islam dan umat lain. Perhatikan petikan di bawah:  

1.       Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menulis, “Kata-kata dalam tulisan saya telah memberi tekanan kepada lawan saya tetapi saya bukanlah orang yang pertama memulakan tindakan melampaui batasan seperti itu. Tulisan-tulisan itu dilakukan sebagai balasan terhadap serangan hebat lawan saya. Mereka menggunakan bahasa kasar dan kesat yang berlebihan. Ini dapat dilihat dengan perbandingan yang telah saya buat di antara bahasa kasar yang digunakan oleh lawan saya dan Bahasa yang saya gunakan dalam pendahuluan buku saya berjudul Kitabul Bariyyah. Seperti yang saya nyatakan bahawa bahasa kasar yang saya gunakan adalah sebagai tindak balas. Penentang sayalah yang pertama kali menggunakan bahasa seperti itu terhadap saya, saya boleh bersabar dengan bahasa kasar dan kesat mereka tanpa membalasnya tetapi saya menggunakan jalan untuk membalas kerana dua sebab: Pertama, supaya penentang saya apabila mendapat balasan dengan teguran keras, mereka mungkin  mengubah taktik mereka dan mungkin akan kembali menggunakan bahasa sopan; Kedua, supaya masyarakat umum Islam tidak turut terdorong melawan disebabkan oleh bahasa fitnah dan provokatif yang digunakan oleh penentang saya”(Kitabul Bariyyah, hlm. 10-11).

2.       “Kami berlindung dengan Tuhan dari memfitnah orang-orang soleh yang benar dan orang-orang terhormat yang beradab, sama ada mereka Muslim atau Kristian atau Aryas. Kami menganggap mereka semua patut dihormati. Kita tidak ambil kisah akan orang bodoh sekalipun. Bahasa tegas kami hanya digunakan terhadap orang-orang yang terkenal disebabkan bahasa keji dan mulut kotor mereka. Kami sentiasa menyebut dengan istilah yang baik dan tidak menyalahgunakan bahasa kepada mereka yang baik dan kita menghormati mereka dan menyayangi mereka seperti saudara” (Lujjatun Nur, hlm. 61).

3.       “Tidak semua ulama itu sama. Beberapa orang dari mereka takut akan Tuhan manakala yang lain adalah orang yang melakukan kesalahan. Mereka yang bertakwa kepada Allah, kami selalu bersangka baik dengan mereka; Allah di masa akan datang akan membimbing mereka dan mereka akan melihat kebenaran. Ketika mereka diberitahu untuk menyatakan bahawa orang ini seorang kafir yang mengaku sebagai Al Masih, mereka berkata, “Kami tidak akan mengatakan apa-apa tanpa pengetahuan penuh dan kami takut kepada Allah””(Al-Huda, Ruhani Khazain Vol. 18, hal 320).

4.       Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menjelaskan dalam Izala Auham, “Saya berkata dengan benar, dengan sesungguhnya benar, bahwa saya tidak ada, sepanjang pengetahuan saya, menggunakan bahkan satu kata pun yang dapat disebut kasar. Kesalahfahaman muncul kerana kebanyakan orang gagal untuk membezakan di antara lontaran bahasa kasar  dan penjelasan kebenaran atau mereka menganggapnya bahawa kedua-duanya adalah sama. Mereka menganggap bahawa apa yang berkaitan dengan sebuah fakta meskipun sesuai pada tempatnya adalah sesuatu yang salah semata-mata karena tahap kekerasan dalam kata-kata yang digunakan tidak dapat dihindari ketika menjelaskan kebenaran. Sebenarnya, definisi bahasa kasar dan bahasa yang menyinggung perasaan adalah jika ianya bertentangan dengan fakta atau ianya palsu serta bahasa itu digunakan bertujuan untuk menyakitkan hati. Jika kita melabel setiap kenyataan yang tegas dan menyakitkan hati sebagai suatu bahasa yang kesat dan salah disebabkan semata-mata oleh bahasa itu pahit, tidak nyaman, melukai hati maka harus diakui bahawa seluruh Al-Qur'an dipenuhi dengan bahasa seperti itu. Dalam Al Quran terdapat kata-kata kasar yang digunakan untuk merendahkan berhala dan untuk mempermalukan para penyembah berhala, dan untuk menyumpah dan mengutuk mereka, tidak menyenangkan para penyembah berhala. Sebaliknya, kata-kata tersebut pasti akan memicu kemarahan para penyembah lebih jauh lagi. Ketika Tuhan Yang Maha Tinggi berbicara kepada kaum kafir Mekah, “Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakar yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya” (Al Anbiya : 99).

Apakah firman Allah swt di atas tidak termasuk dalam bahasa kasar sesuai dengan kriteria yang dicipta oleh penentang? Demikian juga, tidakkah itu bahasa kasar menurut penentang apabila dalam Al Quran Tuhan Maha Tinggi mengatakan orang kafir sebagai “mahkluk yang paling buruk” (Al Bayyinah : 7)? Dan Allah mengatakan bahawa mereka bahkan lebih buruk daripada yang paling tercela dan kotor dari segala yang diciptakan. Bukankah Tuhan Yang Maha Tinggi berkata dalam Al Qur'an, "teguhlah terhadap mereka" (At Tawbah : 74)? Bukankah telah dinyatakan sebagai tanda orang-orang beriman bahawa mereka “keras terhadap orang-orang kafir” (Al Fath :30)? (Izala Auham Halaman 13-14, Ruhani Khazain Volume 3, Halaman 109).

Ulasan

© 2020 Info Ahmadiyah

Designed by Open Themes & Nahuatl.mx.