Langkau ke kandungan utama

Kesilapan Besar Ulama Dalam Memahami Imam Mahdi.



KESILAPAN BERSAR ULAMA SIRI 4


KESILAPAN BESAR ULAMA DALAM MEMAHAMI IMAM MAHDI

 

DAPAT MENGENALI IMAM MAHDI SEBAB KENAL ERA AKHIR ZAMAN

Pada umumnya umat Islam meletakkan harapan tinggi tehadapa dua personaliti yang ditunggu kedatangannya iaitu Imam Mahdi dan Nabi Isa as untuk memartabatkan sekali gus memenangkan agama Islam di atas agama-agama lain. Tercapainya kemenangan  tersebut bukanlah sekarang tetapi pada suatu hari nanti ketika dunia sudah hampir kiamat, inilah fahaman umat Islam pada umumnya. Semua mazhab sepakat bahawa sosok Imam Mahdi dan Nabi Isa pasti datang dengan membawa misi merialisasikan kemenangan kepada Islam. Benarkah mereka ini akan datang pada akhir zaman di mana dunia sudah hampir kiamat? Ataukah Imam Mahdi dan Nabi Isa sudah diutus tetapi umat Islam tidak mengenalinya? Demi mencari jawapan kepada persoalan ini, adalah penting yang amat sangat bagi umat Islam untuk faham apa yang dimaksudkan dengan AKHIR ZAMAN. Setelah faham tentang maksud akhir zaman maka lebih mudahlah untuk memahami dan mengenali Dajjal, Nabi Isa dan Imam Mahdi. PADA HAKIKATNYA IMAM MAHDI DAN NABI ISA AKHIR ZAMAN BUKANLAH DUA ORANG YANG BERBEZA TETAPI SATU ORANG YANG SAMA DENGAN DUA GELARAN. Perkara ini akan dibahas selanjutnya dengan lebih mendalam.

 

FAHAMI KONSEP KEMAHDIAN

Penggunaan kata al-Mahdi dalam Islam pada awalnya banyak digunakan sebagai panggilan hormat untuk Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim a.s. dan ramai lagi [rujuk: Encylopaedia of Islam (Edisi Kedua) oleh Wilferd Madelung, terbitan Brill Academic Publishers tahun 1986, hal. 1230-8]. Oleh itu jika Imam Mahdi adalah seorang yang dipimpin di atas jalan yang benar maka siapakah yang memimpinnya? Sudah tentu dipimpin oleh Allah SWT.

Rasulullah saw bersabda, “Al-Mahdi berasal dari umatku, yang akan diislahkan oleh Allah dalam satu malam.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah). Jelaslah bahawa islah kepada Imam Mahdi adalah dari Allah SWT sendiri, yang akan menjaga dan memimpin Imam Mahdi Akhir Zaman. Dalam masa yang sama, Allah SWT juga yang akan memberitahu kemahdian Imam Mahdi kepada dirinya.

Dalam erti kata yang lebih mudah, Imam Mahdi ialah seseorang yang diberi petunjuk oleh Allah swt dan setelah mendapat petunjuk daripada Allah swt maka orang tersebut (Imam Mahdi) akan memberi petunjuk pula kepada umat manusia. Berdasarkan kepada definisi yang dijelaskan, orang seperti ini banyak terdapat di dalam Al Qur’an yakni setiap nabi dan rasul diberi petunjuk oleh Allah swt dan memberi petunjuk kepada umat manusia. Dengan demikian Imam Mahdi juga adalah seorang yang berpangkat nabi dan rasul. Kini jelaslah bahawa Imam Mahdi sememangnya satu gelaran yang diberi kepada nabi-nabi utusan Allah swt.

Hanya satu sosok peribadi yang dimaksudkan sebagai juruselamat akhir zaman yang dinubuatkan dalam kitab-kitab agama besar dunia. Nama atau gelaran yang berlainan menurut pelbagai agama sesungguhnya terfokus kepada satu orang sahaja. Dengan  cara ini konflik agama dapat dielakkan dan agama-agama besar dunia dapat  disatukan.

Secara ringkasnya, Imam Mahdi merupakan wujud yang sering disebut-sebut oleh Rasulullah SAW sebagai penyelamat di Akhir Zaman. Kerana wujud suci inilah yang disebut akan menjadi pembawa kebenaran dan keamanan kepada dunia di akhir zaman. Perkataan Mahdi dalam bahasa Arab berasal dari kata hadā yang membawa maksud “Untuk memimpin” dan kata Al-Mahdī pula membawa maksud “Yang dipimpin di atas jalan yang benar”.

 

NUBUATAN IMAM MAHDI ATAU JURU SELAMAT DALAM KITAB-KITAB AGAMA  LAIN

Agama-agama besar dunia adalah bersumberkan satu iaitu dari Tuhan Yang Maha Esa Allah swt. Sebelum Islam, ajaran agama diturunkan secara bertahap oleh Allah swt sesuai dengan tingkat kemampuan intelektualiti sesuatu umat atau bangsa, tempat  dan masa-masa tertentu. Apabila pada pandangan Allah swt tingkat kemampuan intelektualiti umat telah mencapai tahap yang boleh mengahadam dan mencerna pelajaran agama yang lebih tinggi maka Allah swt melengkapkan serta menyempurnakan ajaranNya sesuai dengan seluruh bangsa umat manusia, tempat dan sepanjang masa melalui agama Islam.

Disebabkan agama-agama besar dunia yang masih kekal hingga ke hari ini semuanya bersumberkan daripada Allah swt, maka masih tetap ditemui ajaran-ajaran baik dari pelbagai kitab agama pada hari ini, termasuklah nubuatan agung tentang kedatangan seorang juruselamat di akhir zaman untuk seluruh umat manusia. Nubuatan ini terdapat dalam kitab-kitab agama yang sumbernya berasal dari Tuhan Yang Maha Esa.

Tertulis dalam kitab-kitab suci semua agama besar dunia seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha dan Hindu menubuatkan kedatangan seorang pembaharu zaman atau juruselamat atau Imam Mahdi (menurut Islam). Kecuali Islam dan Yahudi, lain-lain agama besar dunia tersebut berkeyakinan bahawa pendiri atau pengasas agama tersebut akan muncul kembali sebagai juruselamat dan penyatu umat manusia di akhir zaman. Umat Hindu menanti kemunculan semula Krishna, umat Kristian menanti Yesus, umat Buddha menanti Gautama Buddha, umat Yahudi menanti Messiah dan umat Islam menanti Imam Mahdi dan Nabi Isa as putera Maryam.

 

IMAM MAHDI DAN NABI ISA AKHIR ZAMAN – SATU ORANG DENGAN DUA GELARAN

Berkaitan dengan Imam Mahdi dan Nabi Isa as, Rasulullah saw bersabda, “Kondisi kian bertambah parah, dunia hanya akan kian jelek kondisinya dan manusia akan bertambah rakus. Kiamat tidak akan terjadi kecuali atas manusia jahat. Namun Mahdi itu tidak lain orangnya adalah Isa anak Maryam juga” – (HR Ibnu Majah, jilid 2, halaman 257, Mesir).

Perlulah diketahui dan difahami bahawa Imam Mahdi adalah satu gelaran kepada Nabi Isa as yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadis tersebut di atas. Ini merupakan satu kepastian bahawa hanya terdapat satu pemimpin bagi umat Islam di akhir zaman iaitu Imam Mahdi yang juga degelar sebagai Nabi Isa.

 

TIDAK DIBENARKAN DUA PEMIMPIN DALAM ISLAM

Jika Imam Mahdi dan Nabi Isa di akhir zaman adalah dua personaliti yang berbeza, bermakna tidak dapat dielakkan umat Islam mempunyai dua orang pemimpin. Satu orang berpangkat nabi dan rasul dan satu orang lagi orang yang mendapat petunjuk dari Allah swt. Digelar sebagai Imam Mahdi sebab mendapat petunjuk dan memberi petunjuk kepada umat manusia.

Keempat-empat Imam iaitu Imam Abu Hanifa, Imam Syafei, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Malik sepakat bahawa, “Sesungguhnya tidak dapat dibenarkan umat Islam di seluruh dunia itu dipimpin oleh dua imam (pemimpin), baik keduanya itu sama-sama sepakat dan setuju maupun tidak” (Almizan, Sya’arani).

Rasulullah saw bersabda, “Apabila terjadi ada dua pemimpin (khalifah) yang menerima bai’at maka salah satunya harus dibunuh iaitu yang paling akhir menerima bai’at itu” (HR Muslim). Namun jangan disalahertikan perkataan dibunuh, bukanlah bermaksud harus dibunuh tetapi ia adalah satu penekanan dan penegasan bahawa salah satu daripada pemimpin itu mesti dan wajib ditolak secara total dan tidak dibenarkan ada dua pemimpin dalam kalangan umat Islam.

Hadis Rasulullah saw, “...Namun Mahdi itu tidak lain orangnya adalah Isa anak Maryam juga” – (HR Ibnu Majah, jilid 2, halaman 257, Mesir) dapat menjernihkan kekeliruan dan memberi kepastian bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih as adalah orang yang sama yang bertindak sebagai seorang pemimpin.

 

IMAM MAHDI DALAM SURAH AL JUM’AH

Allah swt berfirman dalam surah Al Jum’ah : 3-4, “Dialah Zat yang telah mengutus di tengah-tengah kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul dari antara mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka tanda-tandaNya. Mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”(Al Jum’ah : 3-4).

 

BENARKAH RASULULLAH SAW DIUTUS DUA KALI KEPADA DUA KAUM YANG BERBEZA?

Ayat di atas menerangkan bahawa Allah swt seolah-olah akan mengutus Nabi Muhammad saw dua kali kepada dua kaum dan dua zaman yang berbeza (… dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka…). Kaum yang pertama adalah penduduk Mekah (ummi=buta huruf) dan kaum yang kedua adalah satu kaum yang tidak pernah bertemu dengan penduduk Mekah yang buta huruf itu. Perkara ini  tidak mungkin berlaku sebab Raslulullah saw sudahpun wafat. Apakah yang dimaksudkan dengan ayat tersebut?

Kaum yang tidak pernah bertemu dengan penduduk Mekah, Allah swt juga akan mengutus seorang rasul kepada mereka. Kesimpulannya ialah Allah swt menjelaskan bahawa akan diutus seseorang tanpa membawa syariat baru dari umat Rasulullah saw sendiri yakni umat Islam untuk mengembalikan ajaran Islam sebenar yang pernah dibawa oleh Rasulullah saw. Ayat ini memberi harapan yang amat besar dan penuh makna kepada umat Islam. Bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam, Rasulullah saw sendiri telah memberikan tafsiran kepada ayat ini dan sudah tentu di bawah bimbingan Allah swt.

 

RASULULLAH SAW MEMBERI TAFSIRAN KEPADA AYAT AL JUM’AH: 3-4

“Diriwayatkan oleh Hazrat  Abu Hurairah ra bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. Ketika surah Jum’ah turun dan ketika sampai kepada ayat “waakharina minhum  lamma yalhaqubihim”, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah saw tidak menjawab sehingga sahabat itu bertanya dua atau tiga kali, kemudian rawi berkata, bersama kami ketika itu ada Salman Farsi (berasal dari Iran), Rasulullah saw meletakkan tangannya di atas bahu Salman Farsi ra sambil bersabda, “Apabila iman (dari orang-orang Islam) telah terbang ke bintang Suraya, maka seorang laki-laki atau lebih dari mereka ini (keturunan bangsa Farsi) akan mengembalikannya” (HR Bukhari, Kitabut Tafsir Surah Jum’ah).

Rasulullah saw menggambarkan seseorang dari umat Islam berketurunan bangsa Farsi (Iran) akan diberi tanggungjawab untuk menanamkan semula keimanan di dada umat Islam. Apabila diambil kira fakta dari tafsiran Rasulullah saw terhadap surah Al Jum’ah : 3-4 ini, maka personaliti hebat yang digambarkan dalam surah Al Jum’ah, yang mana dijanjikan kedatangannya di akhir zaman untuk memenangkan Islam hanya boleh ditujukan kepada Nabi Isa as sebagai Imam Mahdi yang dijanjikan kedatangannya pada akhir zaman.

 

PERSAMAAN NABI MUSA AS DAN NABI MUHAMMAD SAW

Allah swt berfirman, “Sesungguhnya, Kami telah mengirimkan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi saksi atasmu, sebagaimana Kami pernah mengirimkan seorang rasul kepada Firaun.” (Al Muzzammil : 16). Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Rasulullah saw adalah sama seperti nabi Musa as. Persamaan kedua-dua nabi Allah ini sememangnya benar dan amat nyata. Persamaan fundamental adalah seperti berikut:

1.     Kedua-duanya membawa kitab dan syariat baru.

2.     Kedua-duanya berjuang secara fizikal mempertahankan agama Allah.

3.     Kedua-duanya hijrah demi kejayaan.

4.     Kepada Nabi Musa as dan  Nabi Muhammad as seorang nabi diutus untuk meneruskan syariat kitab Taurat dan Al Quran.

5.     Nabi yang diutus sesudah Nabi Musa as dan Nabi Muhammad as adalah pada saat terjadinya perpecahan pelbagai mazhab dalam umat.

 

Banyak lagi persamaan-persamaan yang tidak dapat dijelaskan di sini. Namun selain persamaan yang disebutkan di atas, sesuai dengan perkara yang dibahas, perlu disentuh satu lagi persamaan yang tidak kurang pentingnya iaitu sebaik sahaja tiba abad ke 14 sesudah Nabi Musa as diutus maka diutus pula Isa Al Masih as dari umat Israil dengan tanggungjawab menghidupkan semula dan memelihara syariat nabi Musa as. Seiringan dengan persamaan ini sudah seharusnya apabila abad ke 14 tiba sesudah Rasulullah saw diutus, seorang nabi yang bergelar Isa Al Masih dari umat Islam pula pasti diutus bagi menghidupkan semula dan memelihara syariat agama Islam yang pernah dibawa oleh Rasulullah saw.

 

Sekarang umat Islam sedang melalui abad ke-15 dalam kalendar Islam. Oleh itu seharusnya Imam Mahdi sudah diutus. Di manakan Imam Mahdi yang dijanjikan di akhir zaman??????

 

BILAKAH MASANYA IMAM MAHDI ATAU NABI ISA DIUTUS?

Sepanjang kehidupan umat manusia tidak pernah ditemui walaupun secebis sejarah bahawa demi mencapai perpaduan dalam sesuatu ummah tidak diperlukan seorang nabi dan rasul. Bijak pandai sama ada berstatus ulama, ahli falsafah, ahli politik, pakar kemasyarakatan atau apa sahaja bidang kepakaran yang dimiliki oleh seseorang tetap sahaja tidak mampu mencipta perpaduan serta perdamaian. Sebaliknya lebih ramai bijak pandai maka akan ramailah pemimpin, akan terbentuk pula puak-puak yang tidak pernah redha dengan apa yang Allah swt berikan kepada mereka. Akibatnya tercetus konflik sehingga mencapai tahap pertumpahan darah sesama sendiri, umat Islam berjihad terhadap umat Islam yang lain. Tipu menipu berleluasa, rasuah, keruntuhan moral, pemerintah yang korup, jenayah tidak dapat dibendung dan sebagainya. Apakah dalam dunia huru-hara seperti ini tidak diperlukan seorang utusan dari Tuhan?

Jika umat Islam berwawasan untuk bangkit semula agar dunia seisinya sekali lagi tunduk memberi hormat maka wajib bagi umat Islam meletakkan harapan setinggi-tingginya terhadap Imam Mahdi atau nabi Isa yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman. Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, pasti akan datang Isa Ibnu Maryam Hakaman Adalan. Ia akan memecahkan salib dan membunuh babi” (HR Bukhari, juz 2:471). Dari sabda Rasulullah saw ini dapatlah diketahui bahawa diutusnya Isa Al Masih as akhir zaman merupakan fenomena penting yang pasti terjadi dalam kehidupan umat Islam. Adalah wajib bagi umat Islam memohon kepada Allah swt dan berharap sepenuh jiwa agar kedatangan Isa Al Masih as disegerakan.

Sepertimana telah disebutkan sebelumnya, pada abad ke 14 sesudah kenabian nabi Musa as, maka telah diutus seorang nabi yang dijanjikan kepada umat Yahudi iaitu Isa Al Masih as. Malangnya nabi yang dijanjikan ini ditolak oleh bani Israil dan hingga kini bangsa ini masih menunggu kedatangan nabi yang dijanjikan itu. Perlu diperingatkan sekali lagi bahawa perjalanan misi kerohanian nabi Musa as adalah sama dengan Rasulullah saw. Oleh itu disebabkan kejahilan umat manusia yang cenderung kepada melupakan dan meninggalkan penciptanya Yang Maha Kuasa, rangkaian sejarah nabi Musa as hingga ke Isa Al Masih as pasti akan berulang lagi di zaman nabi Muhammad saw dan umatnya.

Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” – (HR Musnad Ahmad bin Hanbal, Misykat). Sungguh luar biasa ilmu pengetahuan yang dianugerahkan Allah swt kepada Rasulullah saw. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw satu persatu sudah terjadi dalam realiti kehidupan umat Islam yang kini menjangkau lebih 1,400 tahun. Hadis ini tidak ada dasar untuk menolaknya dan ianya tidak mungkin umat Islam tidak memahaminya kerana senario keadaan umat Islam bermula dari zaman Rasulullah saw hinggalah kepada kerajaan-kerajaan yang ditegakkan oleh umat Islam dirangkum di dalam sabda suci Rasulullah saw ini dan berakhir dengan berdirinya kelak institusi khilafat.

 

PENGIRAAN JANGKA WAKTU IMAM MAHDI ATAU NABI ISA DIUTUS

Hadis tersebut di atas menjanjikan kemenangan Islam melalui institusi khilafat, jika dianalisa dengan lebih teliti, hadis berkenaan menjelaskan bahawa terdapat empat situasi yang pasti dilalui oleh umat Islam. Pecahan situasi umat Islam menurut hadis di atas adalah seperti berikut:

1.     Zaman Rasulullah saw

“akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah”. Nubuat adalah zaman kenabian Rasulullah saw.

2.     Zaman Khilafat

“kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang disukai Allah”. Ini bermakna dilaksanakan pemerintahan sistem khilafat sesudah kenabian Rasulullah saw iaitu apa yang dikenali sebagai zaman Khulafa Rasyidin.

3.     Zaman kerajaan-kerajaan Islam

“kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah”. Pada zaman ini amat menyedihkan kerana dengan jelas umat Islam mula meninggalkan ajaran suci Al Qur’an dan raja-raja Islam meskipun menggelar diri mereka sebagai khalifah melaksanakan pemerintahan yang zalim. Raja-raja Islam ini adalah khalifah politik, mereka lebih terpengaruh dengan politik sekular yang tamakkan kuasa dan kebendaan duniawi.

4.     Zaman Institusi Khilafat

“kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat”. Setelah zaman kegelapan Islam begitu lama, atas kehendak Allah swt akan ditegakkan sekali lagi institusi khilafat. Ini akan sempurna dengan diutusnya Imam Mahdi yakni Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman. “Kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” bermakna seorang nabi diutus dan setelah kewafatannya sistem khilafat terus ditegakkan. Untuk lebih jelas lagi ialah setelah kewafatan Isa Al Masih as iaitu Imam Mahdi yang dijanjikan di akhir zaman, maka misinya akan diteruskan dibawah naungan sistem khilafat.

 

Selari dengan hadis di atas, Rasulullah saw juga pernah bersabda, “Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidakseragaman” – (HR Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir).

Sabda Rasulullah saw ini memberikan ukuran masa selama tiga abad, ianya sudah pula sempurna dan sejarah mengakui bahawa zaman kegemilangan Islam berlangsung selama lebih kurang 300 tahun (tiga abad) lamanya, setelah itu sesuai dengan sabda Rasulullah saw, “...maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidakseragaman”, maknanya umat Islam akan berada dalam kehinaan dan kesengsaraan. Fenomena ini bukan satu kebetulan kerana Nabi Agung Junjungan Muhamad saw yang mengkhabarkannya dan sudahpun terbukti kebenarannya.

Jika sejarah benar-benar diteliti zaman akhir kegemilangan Islam ialah apabila kerajaan-kerajaan Islam kehilangan kuasa. Umat Islam benar-benar kehilangan pedoman begitu lama, sepertimana Allah swt berfirman, “Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6).

Allah swt memberikan gambaran yang jelas bahawa selepas 300 tahun, umat Islam mula mengorak langkah selama 1,000 tahun lamanya dalam kegelapan kerana nikmat-nikmat dan berkat-berkat (roh Al Qur’an) untuk umat Islam diangkat oleh Allah swt selama 1,000 tahun disebabkan kejahilan umat Islam sendiri. Ini bermakna umat Islam hanya akan kembali mengecapi titik kegemilangannya apabila berlalu jangka waktu selama 1300 tahun, yakni bersamaan dengan permulaan abad ke 14 dalam kalendar Islam.

Sudah tentu sebelum sampai ke kemuncak kegemilangan tersebut, satu proses serta evolusi perlu dilalui terlebih dahulu. Oleh itu jika Rasulullah saw bersama para sahabat menjalani liku-liku perjuangan serta usaha gigih sebelum Islam mencapai kejayaan, maka umat Islam pada zaman Imam Mahdi juga tidak terlepas dari tanggungjawab dan cabaran yang sama.

Hujah di atas diperkuatkan lagi apabila nabi Musa as yang pernah diutus kepada umat Israil disamakan dengan Rasulullah saw sepertimana Allah swt berfirman, “Sesungguhnya, Kami telah mengirimkan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi saksi atasmu, sebagaimana Kami pernah mengirimkan seorang rasul kepada Firaun.” (Al Muzzammil : 16).

Pada abad ke 14 iaitu  1,300 tahun sesudah nabi  Musa as  diutus, maka diutus pula Isa Al Masih as. Sudah sewajarnya pula bagi menepati firman Allah swt dalam Al Muzzammil : 16 diutus Isa Al Masih dari umat Rasulullah saw sesudah abad ke 14 hijrah tiba.

Kebangkitan Islam bagi kedua kalinya adalah tugas dan misi besar Isa Al Masih atau Imam Mahdi. Oleh itu umat Islam hendaknya sedar dari  kealpaan dan terus berdoa kepada Allah swt agar diberi petunjuk supaya dapat mengenal dan menjadi pengikut setia kepada Isa Al Masih yang dijanjikan kemunculannya di akhir zaman yakni pada abad ke 14 Hijrah dalam silsilah kenabian Rasulullah saw.

Al quran dan hadis memberi petunjuk bahawa Imam Mahdi dan Nabi Isa diutus pada masa dan situasi berikut:

1.     Pada era akhir zaman.

Sudah dijelaskan dengan panjang lebar dalam artikel sebelumnya.

2.     Pada abad ke 14 Hijrah.

Sesuai dengan rujukan berdasarkan kepada hadis dan Al quran iaitu setelah berlalu 1,300 tahun Rasulullah saw diutus.

 

Kini umat Islam sedang melalui kehidupan dalam abad ke 15, bermakna Imam Mahdi atau Nabi Isa sudah diutus lebih 100 tahun yang lalu. Jika Imam Mahdi atau Isa Al Masih sudah diutus, di manakah dia? Adakah dia menyembunyikan diri? Adakah Umat Islam tidak mengenalinya atau umat Islam menolaknya? Teruslah berdoa, semoga Allah Yang Maha Mengetahui segera meleraikan kemusykilan ini.

 

Tugas Imam Mahdi atau Nabi Isa

Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan terjadi kiamat sehingga turun kepada kalian Ibnu Maryam sebagai hakim yang adil, ia mematahkan salib, membunuh babi, menghentikan jizyah dan melimpahkan harta sehingga tidak ada seorang pun yang mahu menerima pemberian harta (HR Bukhari). Berdasarkan kepada hadis ini secara ringkasnya Imam Mahdi atau Nabi Isa mempunyai tanggungjawab seperti berikut:

  1. Hakim yang adil – sudah sewajarnya Nabi Isa atau Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang juga bertindak sebagai hakim yang adil kerana dia seorang nabi dan rasul yang menerima petunjuk daripada Allah swt dalam apa juga tindakan dan keputusan yang dibuatnya.
  2. Mematahkan salib – menyangkal dan membetulkan akidah Kristian bahawa Nabi Isa bani Isarail harus mati di atas tiang salib untuk menebus dosa umat manusia, nabi Isa as sebagai anak Allah dan Nabi Isa sebagai jelmaan Allah.
  3. Membunuh babi – babi adalah sejenis binatang yang kotor, memakan segala macam kotoran, bangkai pun dimakan, mempunyai nafsu homoseksual. Ini melambangkan keruntuhan akhlak umat manusia di akhir zaman. Nabi Isa atau Imam Mahdi akan membimbing umat manusia ke jalan yang diredhai Allah swt dengan menggunakan Al quran dan sunnah Rasulullah saw.
  4. Melimpahkan harta sehingga tidak ada seorang pun yang mahu menerimanya – sifat manusia yang tamak tetap sahaja inginkan kekayaan harta yang melimpah ruah. Maksud harta dalam hadis ini ialah ilmu-ilmu kerohanian yang terdapat dalam Al quran dan sunnah-sunnah Rasulullah saw yang sememangnya berat dan cenderung bagi umat manusia untuk tidak mengamalkannya.
  5. Menghentikan Jizyah – silakan rujuk dan baca di bawah.

 

Nabi Isa atau Imam Mahdi Menghentikan Jizyah

Kata Jizyah berasal dari kata “jaza” ertinya membalas jasa atau mengganti kerugian terhadap suatu perkara atau terhadap perbuatan yang telah dilakukan. Jizayah ini dikaitkan dengan surah At-Taubah : 29,  “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.”

Dalam istilah lain yang lebih mudah difahami jizyah ialah sejenis bentuk cukai yang dikenakan oleh Rasulullah saw ke atas penduduk non-Muslim di Madinah pada waktu itu. Sebagai imbalannya, pihak non-Muslim yang membayar Jizyah dibiarkan untuk mempraktikkan ibadah mereka, menikmati sejumlah kebebasan tertentu, berhak mendapatkan keamanan dan perlindungan samada ancaman dari dalam atau dari luar dan juga bebas dari kewajiban Jihad atau ketenteraan. Jizyah ini wajib dibayar satu kali dalam masa satu tahun oleh kaum lelaki yang ada kemampuan, tidak ada paksaan kepada yang tidah mampu. Kaum perempuan, kanak-kanak dan orang tidak berakal dikecualikan dari membayar jizyah. Berbanding dengan umat Islam pula diwajibkan membayar zakat satu kali dalam masa satu tahun ke atas harta yang dimiliki dan terikat dengan tanggungjawab jihad atau ketenteraan.

Di zaman Rasulullah saw kaum musyrik dan ahli kitab berusaha untuk menghapuskan agama Islam, maka turun ayat ini berbentuk perintah untuk memerangi mereka sehingga mereka tunduk menyerah. Jika mereka ingin terus tinggal di negara yang diperintah oleh Islam maka mereka wajib membayar jizyah/cukai. Ini merupakan salah satu sumber pendapatan negara disamping zakat yang dibayar oleh umat Islam. Pendapatan negara ini dibelanjakan demi keamanan dan kemajuan negara serta kesejahteraan seluruh rakyat termasuklah kaum musyrik dan ahli kitab yang menjadi rakyat dalam negara yang ditadbir oleh Islam. Jizyah yang dikenakan ini jika dianalisa asasnya ialah “perang agama” yang dilancarkan oleh mereka semata-mata untuk menghapuskan agama Allah iaitu Islam.

Di zaman Nabi Isa akhir zaman iaitu zaman sekarang tidak ada peperangan dilancarkan ke atas umat Islam semata-mata untuk menghapuskan agama Islam. Peperangan hari ini ialah sejenis peperangan yang didorong oleh faktor politik dan kuasa ekonomi. Tugas nabi Isa akhir zaman ialah memanggil umat manusia kepada Allah dan RasulNya, kejayaan ini pasti tercapai kerana ini rencana Allah swt yang diberikan kepada Rasulnya yakni Nabi Isa akhir zaman. Oleh itu latar belakang Nabi Isa as akhir zaman menghapuskan jizyah dapat didasarkan kepada beberapa alasan:

1.     Peperangan dilancarkan atas dasar mengahapuskan agama Islam sudah tidak berlaku lagi.

2.     Misi nabi Isa akhir zaman akan mencapai kejayaan di mana pada ketika itu majoriti umat manusia memilih Islam sebagai agama mereka. Ahli kitab atau kaum musyrik atau kafir menjadi kelompok yang minoriti. Bilangan mereka yang cukup kecil berbanding dengan umat Islam, tidak menjadi bebanan perbelanjaan kepada negara dan tidak mendatangkan ancaman kepada negara.

3.     Jumlah umat Islam sebagai kelompok majoriti penduduk bumi dengan nilai ketaqwaan yang tinggi merupakan satu jaminan kepada tercapainya keharmonian, kesejahteraan, kedamaian dan keamanan yang luar biasa. Harta kekayaan negara melimpah ruah kerana segala apa yang  dimiliki umat Islam pada waktu itu  adalah milik mutlak Allah swt. Umat islam hanya menganggap dirinya sebagai penjaga amanah kepada harta kekayaan yang ada atas dasar ketaqwaan kepada Allah swt.

 

Oleh itu kekayaan yang melimpah ruah, keharmonian, keamanan dan kedamaian yang wujud menyebabkan JIZYAH TIDAK DIPERLUKAN LAGI ini yang dimaksudkan Nabi Isa akhir zaman menghapuskan jizyah.

 

Tanda Khusus Kedatangan Imam Mahdi – Gerhana Bulan dan Matahari Dalam Bulan Ramadhan

Jika Imam Mahdi atau Isa Al Masih sudah diutus ianya wajib didukung dengan tanda agar umat manusia tidak berkesempatan mengingkarinya. Berkaitan hal ini, Rasulullah saw memberi tanda yang begitu khusus bagi kedatangan Imam Mahdi iaitu satu tanda dari Allah swt yang mana secara total di luar kemampuan manusia untuk mencampurinya. Tanda ini benar-benar bakal menguji keimanan seseorang muslim terhadap Imam Mahdi kerana apabila tanda ini menjadi kenyataan, mereka yang pentingkan dunia dan takut kepada sesama manusia akan berusaha berdolak dalik mengingkarinya.

Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang BELUM PERNAH TERJADI semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan terjadi gerhana bulan pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65). Tanda khusus ini telah dirakamkan oleh seorang ulama tersohor pakar hadis bernama Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni. Beliau pernah mencabar penduduk Baghdad sepertimana termaktub dalam sebuah buku bertajuk Hasyiah Nukhbatul Fikir, halaman 56, ”Wahai penduduk Baghdad, janganlah kamu kira bahwa seseorang akan berani mengadakan hadis-hadis palsu, sedangkan saya masih hidup.” Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni dengan kepakaran serta kemampuan yang diberikan Allah swt padanya begitu yakin dapat membezakan di antara hadis palsu dan benar sehingga beliau mencabar penduduk Baghdad pada masa itu agar jangan ada di antara mereka yang berani mengada-adakan hadis palsu selagi dia masih hidup.

 

Penjelasan Gerhana Bulan Dan Matahari Dalam Bulan Ramdhan

Penjelasan bagi hadis tersebut di atas ialah gerhana bulan boleh berlaku pada salah satu daripada tiga malam iaitu pada 13, 14, dan 15 hari bulan (bulan purnama). Untuk tanda Imam Mahdi yang diutus, menurut Rasulullah saw gerhana bulan pasti terjadi pada malam pertama iaitu pada 13 hari bulan. Bagi gerhana matahari pula boleh berlaku pada salah satu daripada tiga hari iaitu pada 27, 28 dan 29 hari bulan.  Untuk tanda Imam Mahdi yang diutus, menurut Rasulullah saw gerhana Matahari pasti terjadi pada hari pertengahan iaitu pada 28 hari bulan.

Selanjutnya menurut Rasulullah saw lagi, kedua-dua gerhana ini mestilah terjadi dalam bulan Ramadhan yang sama. Tanda ini amat unik dan ianya daripada Allah Yang Maha Berkuasa mengatur alam cakrawala ini. Berkaitan tanda khusus ini, pasti ada yang mempertikaikannya kerana sumbernya bukan dari hadis sahih sitah, dalam erti kata lain tergolong dalam kategori hadis dhaif atau palsu. Hadis yang dianggap dhaif atau palsu sememangnya terdapat alasan yang kukuh untuk menolaknya. Pertimbangan akal yang waras sesuatu hadis yang dianggap dusta boleh bertukar menjadi nyata dan benar jika terdapat dukungan bukti jelas. Hadis ini tidak lagi boleh dianggap lemah dan palsu jika benar-benar terjadi menepati sabda Rasulullah saw sebab tidak ada manusia yang sanggup mengatur pergerakan alam agar berlaku gerhana Bulan dan Matahari seperti dalam hadis Rasulullah saw.

Keseluruhan kenyataan dalam hadis Rasulullah saw tentang gerhana Bulan dan Matahari teramat penting untuk diperhatikan iaitu:

1.     Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang BELUM PERNAH TERJADI SEMENJAK LANGIT DAN BUMI DICIPTAKAN.” Bermakna hanya akan terjadi apabila diutusnya Imam Mahdi, sebelumnya tidak pernah tejadi. Fakta ini boleh disahkan melalui rekod maklumat yang terdapat dalam simpanan pihak NASA atau mana-mana jabatan astronomi sesebuah negara.

2.     “Akan terjadi gerhana bulan pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan Ramadhan itu juga”. Tarikh yang tepat dan nyata disebutkan, hal ini menjamin kepastian dan mengelakkan kekeliruan.

3.     “Pada bulan Ramadhan itu juga”. Tanda ini diperkuatkan lagi dengan ketentuan bulan khusus iaitu bulan Ramadhan, kedua-dua gerhana tersebut mesti terjadi dalam bulan Ramadhan yang sama.

Ketiga-tiga syarat di atas wajib dipenuhi bagi mendukung dakwaan seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan Nabi Isa yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman. Dakwaan mesti dibuat terlebih dahulu dan disusuli dengan tanda gerhana Bulan dan Matahari dalam bulan Ramadhan.

 

Gerhana Bulan Dan Matahari Dalam Kitab Injil Dan Kitab Hindu

Dalam kitab Injil Perjanjian Baru, Nabi Isa as menubuatkan tentang kedatangannya buat kali kedua, "Segera sesudah siksaan pada masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak bercahaya...” (Matius 24 : 29).

Seorang penganut agama Hindu bernama Mahatma Surdasji merakamkan bahawa apabila Kalki Avatar (Pemusnah Kejahilan) muncul, Bulan dan Matahari akan gerhana. Beliau menulis, “Bulan dan Matahari akan gerhana dan pada waktu itu banyak keganasan dan kematian” (Surdas, Sursagar “Ocean of Melody”).

 

Beriman Kepada Imam Mahdi Adalah Wajib

Hanya orang yang ingkar sahaja yang akan terus menolaknya. Oleh itu jika ada orang mendakwakan dirinya sebagai Imam Mahdi pada awal abad ke 14 dan didukung pula oleh gerhana Bulan dan Matahari sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw, maknanya dakwaan orang tersebut adalah benar. Jika orang yang mendakwakan dirinya sebagai imam Mahdi didukung pula oleh tanda-tanda sepertimana dalam hadis-hadis Rasulullah saw dan dalil-dalil dari Al Qur’an, sudah tentu orang tersebut menjalani seluruh kehidupannya dengan berpandukan Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw. Imam Mahdi ialah seseorang dari umat Rasulullah saw dan akan merefleksikan kehidupan sebenar Rasulullah saw kerana tugasnya ialah mengembalikan ajaran sebenar syariat Islam. Oleh itu wajiblah bagi umat Islam menyelidikinya dengan mengkaji ajaran yang dibawanya samada berdasarkan kepada Al Qur’an Karim dan sunnah Rasulullah saw atau sebaliknya.

Jika sudah terbukti semuanya benar, adalah satu dosa yang amat besar jika umat Islam menentang dan menolaknya. Sesuai dengan perintah Rasulullah saw, meskipun terpaksa menghadapi bermacam-macan kesulitan dan rintangan, umat Islam diwajibkan menerima dan mengikuti Imam Mahdi kerana dia adalah khalifatullah. Rasulullah saw bersabda, ”Apabila kamu melihat Imam Mahdi maka segeralah kamu bai’at walaupun harus merangkak melalui rintangan salji kerana beliau itu adalah khalifatullah Al Mahdi.” (HR Ibnu Majah). Imam Mahdi adalah berpangkat Rasul, lantaran itu menolak imam Mahdi sebagai rasul Allah di akhir zaman, maka akan terjejaslah rukun iman seseorang muslim.

 

TIDAK MUDAH BAGI UMAT ISLAM MENERIMA KEDATANGAN IMAM MAHDI ATAU NABI ISA

Dalam minda umat Islam sudah lama tertanam bahawa tidak ada lagi nabi dan rasul diutus sesudah Rasulullah saw. Allah swt tidak akan mengutus lagi sebarang nabi dan rasul sebab Nabi Muhammad saw adalah penutup nabi-nabi. Inilah fahaman daripada ulama yang menentang penjelasan Al Quran dan hadis Rasulullah saw dan fahaman ini wajib ditolak oleh umat Islam secara total.

Surah Al Jum’ah: 3-4 serta tafisran Rasulullah saw berkenaan dengan ayat berkenaan sudah cukup untuk membantah fahaman silap yang dipromosikan selama ini oleh para ulama. Silakan himbau dan hayati kembali ayat dan tafsir tersebut.

surah Al Jum’ah : 3-4, “Dialah Zat yang telah mengutus di tengah-tengah kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul dari antara mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka tanda-tandaNya. Mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”(Al Jum’ah : 3-4).

“Diriwayatkan oleh Hazrat  Abu Hurairah ra bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. Ketika surah Jum’ah turun dan ketika sampai kepada ayat “waakharina minhum  lamma yalhaqubihim”, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah saw tidak menjawab sehingga sahabat itu bertanya dua atau tiga kali, kemudian rawi berkata, bersama kami ketika itu ada Salman Farsi (berasal dari Iran), Rasulullah saw meletakkan tangannya di atas bahu Salman Farsi ra sambil bersabda, “Apabila iman (dari orang-orang Islam) telah terbang ke bintang Suraya, maka seorang laki-laki atau lebih dari mereka ini (keturunan bangsa Farsi) akan mengembalikannya” (HR Bukhari, Kitabut Tafsir Surah Jum’ah).

KETAHUI SELANJUTNYA SAMA ADA TERDAPAT DALIL DALAM AL QURAN BAHAWA PENGUTUSAN NABI DAN RASUL SUDAH DITUTUP

 

Sila klik KESILAPAN BESAR ULAMA SIRI 5

© 2020 Info Ahmadiyah

Designed by Open Themes & Nahuatl.mx.