MENJAWAB TUDUHAN YANG DILEMPARKAN OLEH UMAT KRISTIAN TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW
TUDUHAN:
1. Muhammad saw tidak tercatit dalam sejarah.
2. Muhammad saw adalah Nabi Palsu.
3. Muhammad saw menciplak Bible untuk menghasilkan Alqruan.
4. Muhammad saw mempromosi kezaliman.
5. Muhammad saw banyak melakukan kesalahan yang memalukan termasuklah mengawini anak di bawah umur dan anak menantunya, mempunyai ramai Isteri dan lain-lain.
JAWAPAN – PART 1
Oleh :
Miljuan Hadjiran
Jemaah Muslim Ahmadiyah
Assalamulaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu
Saudara Kristian yang dikasihi...
Saudara Umat Kristian terlalu banyak melemparkan tuduhan fitnah liar kepada Nabi Islam ini. Untuk menjawab kesemua tuduhan tersebut adalah dengan membuktikan bahawa Muhammad saw seorang nabi yang benar diutus oleh Sang Pencipta Alam ini. Jika Muhammad saw terbukti benar sebagai seorang nabi yang diutus Tuhan maka dengan sendirinya segala tuduhan terjawab dan terbukti tuduhan tersebut dengan sengaja direka-reka.
Berdasarkan kepada hukum akal yang waras, seorang utusan Tuhan mempunyai sifat dan ciri seperti berikut:
1. Bebas dari segala kesalahan dan perbuatan mungkar.
2. Segala apa yang dilakukannya adalah di atas perintah Tuhan.
3. Setiap saat dia dibimbing oleh Tuhan.
4. Setiap saat dia dalam perlindungan Tuhan.
5. Ajaran yang dibawa pasti mendapat tentangan di peringkat permulaan tetapi akhirnya ajarannya pasti mendapat kemenangan.
Nota:
Kesalahan yang dilakukan oleh para nabi seperti yang terdapat dalam Bible, Islam sama sekali tidak menerimanya. Itu adalah perbuatan kotor tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Semoga saudara umat Kristian juga berpendapat seperti itu sebab sifat dan ciri utusan Tuhan adalah seperti yang tersebut di atas.
Jika dikatakan bahawa Nabi Muhammad (saw) sama sekali tidak terukir namanya dalam sejarah adalah satu tuduhan yang amat tidak tepat. Bukan sahaja peribadi mulia ini ditulis oleh orang dunia malahan orang-orang yang dekat dengan Tuhan jauh ribuan tahun sebelum lahirnya orang yang bernama Muhammad (saw) sudah disebut dan diberi gelaran menakjubkan dalam kitab-kitab suci mereka. Dia dicintai dan dirindui oleh orang-orang suci sahabat Tuhan. Demikianlah hebatnya pengaruh orang yang bernama Muhammad (saw). Pengasas Jemaah Muslim Ahmadiyah, Hazrat Mirza Ghulam Ahmad pernah bersabda, “Jika aku dilabel kafir kerana mencintai Muhammad (saw), maka akulah orang yang paling kafir”.
Saya tidak akan membawa saudara Kristian ke alam penulisan orang dunia berhubung dengan orang yang bernama Muhammad (saw) sebab ianya kurang penting dan kurang bermanfaat. Sebaliknya mari kita sama-sama menyingkap lembaran kitab-kitab suci agama besar dunia, apakah mungkin terselit nama Muhammad (saw) di sudut yang sempit ataukah terpampang jelas indah nama tersebut berserta pujian sanjungan pemilik kitab berkenaan.
Tentu saja agama besar yang masih kuat berakar umbi di dunia ini, saya merujuk kepada agama Kristian, Hindu dan Budha. Mari kita sama-sama telaah satu per satu kitab-kitab suci ini, apa kata mereka tentang orang yang bernama Muhammad (saw).
Biarlah saya mulakan dengan kitab agama Hindu dan disusuli dengan kitab agama Buddha terlebih dahulu. Saya meletakkan Alkitab di peringkat akhir sebab penjelasannya lebih detail dan panjang agar saudara Kristian yang tidak celik melihat Muhammad (saw) dalam Alkitab bisa fokus dengan tenang dan faham sepenuhnya penjelasan Alkitab.
Setiap agama samawi menubuatkan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman yang membawa keselamatan kepada umat manusia. Khabar ghaib ini dipesongkan, ditutupi atau jika boleh dipadamkan dari terus terkandung dalam kitab-kitab agama samawi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila dapat difahami semua agama samawi sumbernya daripada Allah swt jua maka dapatlah disimpulkan bahawa khabar ghaib yang menjanjikan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman untuk menyelamatkan umat manusia adalah merujuk kepada Nabi Muhammad Mustafa saw. Oleh itu umat Islam wajib berlapang dada menerima hakikat bahawa penganut agama samawi hari ini khasnya Hindu, Buddha dan Kristian adalah pengikut dari agama yang benar pada asalnya disampaikan oleh utusan Tuhan.
NABI MUHAMMAD (SAW) DALAM KITAB SUCI AGAMA HINDU
Saya akan paparkan seringkas mungkin fakta-fakta dalam kitab suci agama Hindu tentang seorang yang bernama Muhammad.
Agama Hindu diakui sebagai agama tertua dunia, apabila kitabnya diteliti dengan cermat maka terbuktilah amat banyak nubuatan berkaitan seorang guru rohani agung akan lahir ke dunia. Dalam kitab suci agama Hindu memaparkan:
“Hai orang banyak, dengarlah ini dengan sungguh-sungguh, NARASHANGSA (Yang terpuji) akan dibangkitkan di antara orang banyak. Kita mengambil orang KAURAM (Muhajirin) itu di dalam perlindungan kita dari 60,000 dan 90 musuh-musuh; yang kenderaannya adalah 20 unta dan 2 unta betina, memiliki 12 orang istri, dan naik ke langit dengan KENDERAAN TERCEPAT (Bouraq)…” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127, Mantra 1-2).
Keterangan:
1. Narashangsa bermakna Yang Terpuji yang bahasa Arabnya sama dengan Muhammad.
2. Kauram bermakna hijrah iaitu orang yang meninggalkan negerinya sendiri, dalam bahasa Arab ialah Muhajirin. Rasulullah saw dan pengikutnya ketika hijrah dari Mekah ke Madinah untuk menghindari serangan kaum kafir Mekah yang berjumlah lebih kurang 60,000 orang dan 90 kepala suku. Rasulullah saw dan para sahabat yang hijrah ini dikenali sebagai Kaum Muhajirin.
3. Kenderaan Rasulullah saw adalah unta dan kuda.
4. Rasulullah saw memiliki 12 orang isteri iaitu Hazrat Khadijah, Hazrat Saudah, Hazrat Aisyah, Hazrat Hafsah, Hazrat Zainah, Hazrat Ummu Salamah, Hazrat Zainab, Hazrat Juwairiah, Hazrat Raihanah, Hazrat Ummu Habibah, Hazrat Shafiah, dan Hazrat Maimunah.
5. Ketika melakukan Mi’raj dari Masjid Al-Aqsa di Palestin ke langit ke-7, Rasulullah saw menaiki kenderaan bernama Bouraq yang merupakan kenderaan tercepat seperti kilat.
“Tuhan akan memberikan kepada MAMAHA RISHI seratus keping emas, sepuluh kalung, tiga ratus ekor kuda, dan 10,000 ekor sapi.” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127, Mantra 3).
Keterangan:
1. Kata Mamaha dari sudut etimologis berasal dari bahasa Arab iaitu Muhammad yang berarti Yang Terpuji”,
2. Mamaha Rishi adalah julukan bagi Narashangsa yakni bermakna Yang Terpuji
3. Seratus keping emas maksudnya seratus orang pengikut Muhammad yang menyebarkan agama Allah yang disebut Ash-Shabus Shuffah.
4. Sepuluh kalung maksudnya sepuluh orang pembantu yang selalu membantu Rasulullah saw dalam peperangan yang disebut Asy-Syara Mubasysyara.
5. Tiga ratus ekor kuda maksudnya tiga ratus tentera yang dipimpin Rasulullah saw ketika menghadapi 700 tentera kafir Mekah dalam Perang Badar (H.G. Wells, The Outline of History, 1949).
6. Sepuluh ribu ekor sapi maksudnya sepuluh ribu pengikut Rasulullah saw ketika memasuki kota Mekah (630 M) dalam keadaan aman dan damai, yang dikenal dengan peristiwa “Fathu Makkah” (Stanley Lane Poole, Speeches and Table Talks of the Prophet Mohammed, 1882).
“Wahai Tuhan, bersama dengan EMPAT ORANG SAHABAT, aku akan menghancurkan kebatilan.” (Kalki-Purana 2:5).
Keterangan:
1. Rasulullah saw mempunyai empat orang sahabat yang terkenal dalam sejarah Islam dikenali sebagai Khulafa Rasyidin iaitu Hazrat Abu Bakar ash-Shidiq, Hazrat Umar bin Khatab, Hazrat Uthman bin Affan dan Hazrat Ali bin Abu Thalib.
“KALKI AVATAR akan dilahirkan di KOTA SHAMBAL, ibunya bernama SUMATI, bersama EMPAT orang temannya akan mengalahkan kali (setan/kebatilan)….Dia akan dibantu oleh para malaikat di medan pertempuran.” (Kalki-Purana 2:4-7).
“Ayahnya bernama VISHNU-YASH.” (Bhagabat-Purana 12:2:18).
“Dia lahir pada hari ke-12 yang cerah, pada pertengahan bulan MADHAV.” (Kalki-Purana 2:15).
Keterangan:
1. Kalki Avatar bermaksud utusan terakhir (yang membawa syariat terakhir). Secara terperincinya Av ertinya turun dan tar ertinya melewati. Erti secara keseluruhan bagi Kalki Avatar (di baca Kalki Autar) adalah utusan terakhir, gelaran ini sememangnya sesuai untuk Rasulullah saw sebagai Khatamannabiyyin.
2. Shambal bererti rumah perdamaian dan keamanan di mana Rasulullah saw dilahirkan di kota Mekah yang dikenal dalam bahasa Arab sebagai Darul Aman.
3. Ibunya bernama Sumati yang bermaksud lemah lembut dan cerdas. Ibunda Rasulullah saw bernama Aminah yang juga bererti lemah lembut.
4. Empat orang temannya adalah Hazrat Abu Bakar, Hazrat Umar, Hazrat Uthman dan Hazrat Ali.
5. Kalki Avatar dibantu oleh para malaikat di medan pertempuran. Rasulullah saw dibantu oleh para malaikat dalam Perang Badar (Al Imran: 123-125) dan dalam Perang Khandaq (Al Ahazab: 10).
6. Ayahnya bernama “Vishnu-Yash” yang bererti Hamba Tuhan (Vishnu = Tuhan). Ayahanda Rasulullah saw bernama Abdullah yang juga bererti Hamba Allah/Tuhan.
7. Kalki Avatar lahir pada hari ke-12 pada pertengahan bulan Madhav. Rasulullah saw sememangnya lahir pada hari ke-12 iaitu tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah (Sebelum Hijrah).
Ramalan Khusus Dalam Kitab Bhavishya Purana
Sikap majoriti umat Hindu adalah lebih cenderung mencemuh umat Islam sebagai umat yang tidak ada kelas. Namun orang suci mereka dan kitab suci Veda dan Purana berbuat sebaliknya, dengan rasa hormat yang tinggi bercerita tentang seorang nabi dari umat Islam. Seorang suci dan peramal terkemuka dari agama Hindu bernama Maha Rishi Vyasa telah mengumpulkan salah satu kitab suci agama Hindu bernama Bhavishya Purana yang mengandungi ramalan tentang Rasulullah saw.
"Seorang guru rohani akan datang dari negeri asing. Muhammad (Muhammad) adalah namanya. Raja, memandikan orang Arab yang ditemani malaikat ini dengan air suci dari Gangga dan lima cairan yang mensucikan (panchgavya), memujanya dengan penuh keimanan dan pengabdian, dan berkata: Saya membungkuk di hadapanmu, wahai Anda yang menjadi Kebanggaan dari Umat Manusia (namaste girijanath), engkau yang penghuni gurun pasir (marusthalnivasnam), yang memberikan kekuatan yang banyak sekali untuk menyembelih Setan; yang telah dijaga dari musuh-musuhmu yang jahat. Wahai engkau manifestasi dari Dzat Yang Maha-unggul! terimalah saya sebagai hamba-sahayamu, sebagai seorang yang jatuh di telapak kakimu" (Buku 3, bab 3, hymne 3, ayat 5 hingga 8).
Dalam ayat-ayat di atas, Maha Rishi telah menggambarkan suatu hal yang bukan peristiwa nyata melainkan suatu rukyah di mana Tuhan Yang Maha Tinggi telah menunjukkan kepadanya, ribuan tahun sebelumnya, dalam penghormatan kepada suatu peristiwa besar yakni kedatangan seorang Nabi Dunia, Guru Rohani agung dari ras manusia. Maha Rishi kemudian melanjutkan dengan menggambarkan secara bertulis para sahabat dari Guru Rohani agung yang dimaksudkan, dia menulis:
1. Para pengikut Muhammad akan mengutamakan khitan (lingchhedi); memelihara janggut di dagu mereka (samashrudhari); tak ada kuncir di rambut mereka (shikhaheena); dan melakukan suatu revolusi yang luar biasa dalam dunia agama.
2. Keyakinan mereka bukanlah perkara yang disembunyikan malahan ianya akan diserukan dengan lantang (oonchalapi) dari menara setiap masjid.
3. Kecuali babi (vina keulam), mereka akan makan semua binatang lain yang toyib dan halal (sarvbhakshi).
4. Kaum Hindu menggunakan rumput (kusha) dalam kurban sebagai suatu faktor pensucian tetapi orang-orang ini akan mensucikan diri mereka melalui peperangan.
5. Mereka akan disebut Musalman (Musalwants) sebab mereka akan berperang melawan agama yang rosak dan tercemar (dharmdooshkah).
6. Dari Akulah agama orang-orang pemakan daging ini yakni ianya akan merupakan suatu agama yang diilhamkan dari Tuhan.
NABI MUHAMMAD (SAW) DALAM KITAB SUCI AGAMA BUDDHA
Agama Buddha boleh juga dikategorikan sebagai salah satu agama tertua yang berasal dari India dan lebih tepat lagi dari wilayah yang pada masa ini dikenali sebagai Nepal. Sejarah agama Buddha ini bermula lebih kurang abad ke-6 sebelum Masihi. Pengasas agama Buddha ialah seseorang yang dipercayai putera raja yang bernama Siddhartha Gautama yang dikenali sebagai Gautama Buddha. Beliau dilahirkan di kota Kapilavastu, Nepal sekitar 2,400 tahun yang lalu. Ayahnya bernama Sudhodana adalah dari dinasti Sakya iaitu seorang raja dan ibunya bernama Maya Dewi. Silsilahnya mencapai Kshatrya Rishi Gautama yang terkenal, kerana itu Buddha dipanggil sebagai Sakya Muni Gautama atau Sakya Singha. Setiap aliran Buddha berpegang kepada kitab yang diberi nama Tripitaka. Dalam kitab ini mengandungi sabda dan ajaran Gautama Buddha. Pengikut-pengikutnya kemudian menulis dan mengklasifikasikan ajarannya dalam 3 buku iaitu Sutta Pitaka (khotbah-khotbah), Vinaya Pitaka (peraturan atau tata tertib para bhikkhu) dan Abhidhamma Pitaka (ajaran hukum metafizika dan psikologi).
Gautama Buddha meramalkan tentang kedatangan seorang Buddha (Buddha untuk masa akan datang) yang sama sepertinya dikenali sebagai Maitreya Buddha. Ramalan ini amat mudah difahami iaitu sesudah Gautama Buddha tidak ada lagi pemimpin agama muncul ke dunia selain Isa Al Masih as dan Nabi Muhammad saw. Meskipun demikian, ramalan tersebut hanya tertuju kepada satu orang sahaja. Namun apa yang menarik ialah Isa Al Masih as telah mengeluarkan kenyataan yang mana secara tidak langsung menjelaskan bahawa dia sendiri tidak dimaksudkan oleh ramalan itu. Isa Al Masih asbersabda tentang roh kebenaran yang akan membimbing umat manusia kepada seluruh kebenaran, “Tetapi apabila ia datang, iaitu Roh Kebenaran, ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab ia tidak akan berkata-kata dari dirinya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengarnya itulah yang akan dikatakannya dan ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang” (Yohanes 16:13). Apabila dicari jawapan kepada kebenaran yang disabdakan oleh Isa Al Masih as ini, tidak seorangpun yang muncul ke dunia kecuali Nabi Suci Muhammad saw.
Siapa Buddha? Siapa Maitreya?
Ada dua perkataan yang amat penting perlu dibahas maknanya terlebih dahulu iaitu Buddha dan Maitreya, kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Dalam bahasa Sanskrit Buddha bererti seorang yang bangkit, terbangun, cerdas, pandai, bijaksana dan sebagainya. Dalam erti kata lain Buddha adalah gelaran membawa maksud seorang lelaki sempurna yang telah mencapai ilmu kebenaran dan ketulusan atau ringkasnya seseorang yang telah keluar dari kegelapan dunia kepada cahaya. Ungkapan Buddha ini juga dapat dikaitkan asal katanya dari kata bahasa Arab iaitu Bath, Ba’atha dan Taba’ath yang bererti dia membangkitkannya, menarik hatinya, atau meletakkan dia dalam gerakan atau tindakan. Baethun dan Beath bererti seorang lelaki yang mana kegelisahan atau kesedihannya membangunkannya dari tidur. Dalam hal ini Al Qur’an menjelaskan tentang Rasulullah saw, “Dia ialah Yang membangkitkan (ba’atsa) di kalangan bangsa Ummi seorang Utusan di antara mereka, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan mensucikan mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, walaupun mereka benar-benar dalam kesesatan yang terang” (Al Jum‘ah: 3). Oleh itu kesimpulannya menurut terminologi, perkataan Buddha adalah gelaran bagi orang yang telah mencapai kondisi keluar dari kegelapan kepada cahaya dan juga menyeru serta mengajak orang lain agar keluar dari kegelapan yang sama. Oleh itu Buddha bukanlah gelaran kepada satu orang sahaja, pada hakikatnya selepas satu Buddha meninggal dunia maka akan ada pula orang lain bergelar Buddha.
Maitreya juga berasal dari bahasa Sanskrit ianya banyak ditemui dalam buku-buku berkaitan dengan Buddhisme, perkataan ini berubah sedikit demi sedikit dari segi sebutan mengikut kesesuaian loghat bahasa pelbagai negara. Dalam bahasa Sinhali Maitreya disebut Maitri, dalam Siami disebut Phrae, dalam bahasa Cina disebut Mei-ta-li-ye, dalam bahasa Tibet disebut Mahitreja, dalam bahasa Jepun disebut Miroku, dalam bahasa Mongolia disebut Maidari dan demikian juga seterusnya dalam bahasa lain yang tidak dapat disebutkan di sini. Disebabkan sebutan Maitreya berubah sedikit demi sedikit maka maknanya juga mengalami keadaan yang serupa, antara lain adalah seperti berikut:
1. Maitreya dalam bahasa Sanskrit bererti mencintai dengan penuh kehangatan, penyayang dan pemurah.
2. Nilai persahabatan, pemurah, kasih yang hangat, persaudaraan antara bangsa, simpati, penuh perhatian kepada yang lain (Pali Dictionary oleh William Steade).
3. Dia yang namanya adalah kebaikan (The Gospel of Buddha oleh Paul Carus, hal. 218).
4. Kasih sayang universal atau pemurah (Essence of Buddhism, halaman 101, 105).
Dalam erti kata lain Maitreya menceritakan sifat-sifat baik seseorang, semuanya tertuju kepada akhlak murni seorang utusan Tuhan seperti Rasulullah saw sebagai Rahmatan lil’alamin.
Nubuatan Oleh Gautama Buddha – Rahmat Untuk Seluruh Ummah
Gautama Buddha telah meramalkan kedatangan seorang “Maitreya” dan nubuatan itu begitu agung sehingga beberapa mubaligh Kristian, pandit Hindu dan propagandis Teosofi telah berusaha menerapkannya kepada pengasas agama masing-masing tetapi mereka telah gagal menyesuaikan nubuatan Buddha ini, “Akan muncul di dunia seorang Buddha bernama Maitreya (seorang yang pemurah dan pengasih). Seorang yang suci, seorang yang utama, seorang yang tercerahkan, diberkahi dengan Kebijaksanaan dalam tingkah-lakunya, beruntung, mengenal alam semesta; manusia pengendara yang tak tertandingi dari orang-orang yang dijinakkan hatinya, tuan dari para malaikat dan manusia, Buddha yang diberkahi bahkan seperti saya yang sekarang dibangkitkan di dunia, seorang Buddha yang dianugerahi dengan kualiti yang sama seperti ini. Apa yang disedarinya berkat ilmu supernaturalnya sendiri, akan disiarkannya ke alam semesta ini, dengan para malaikatnya, sahabatnya, dan ketua malaikat serta ras ahli filsafat dan Brahmin, pangeran dan awam, bahkan seperti saya sekarang, setelah mengenal semua pengetahuan ini, menerbitkan yang sama bagi sesama. Dia akan mengajarkan agamanya, terpuji asal-usulnya, terpuji pada puncaknya, terpuji pada tujuannya, dalam semangat maupun tulisan. Dia akan mengumumkan kehidupan keagamaan, sempurna seluruhnya, dan murni sepenuhnya; bahkan seperti saya yang kini mengajarkan agamaku dan kehidupan serupa yang saya umumkan. Dia akan memimpin masyarakat pendeta berjumlah RIBUAN, bahkan saya kini hanya memimpin masyarakat pendeta sejumlah ratusan” (Chakkavatti Sinhnad Suttanta, D III:76).
Nubuatan di atas sememangnya tepat sekali untuk orang yang bernama Muhammad atau Ahmad, nabi agung umat Islam, Rahmatan lil’alamin. Sifat bagi Buddha yang akan datang dirangkum dalam diri Rasulullah saw, semenjak beliau saw masih kanak- kanak hinggalah diangkat menjadi rasul Allah swt terkenal sebagai seorang yang amat jujur, penyayang dan pemurah serta terpuji berakhlak mulia. Sifat pengasih luar biasa Rasulullah saw digambarkan dalam Al Qur’an di mana Rasulullah saw berulang kali ditegur dan dihiburkan oleh Allah swt kerana bersedih yang amat sangat disebabkan oleh kaumnya terus menerus monolak segala dakwaannya, Allah berfirman, “Maka engkau membinasakan dirimu kerana sangat bersedih hati memikirkan mereka, mengapa mereka tidak beriman kepada keterangan ini” (Al Kahfi : 7). “Boleh jadi engkau akan membinasakan dirimu sendiri disebabkan kedukacitaan, mengapa mereka tidak mahu beriman” (Asy Syu’araa’: 4). “…maka janganlah engkau membinasakan diri mu kerana kesedihan mengenai mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (Al Faathir: 9). Baginda saw lah Maiterya Buddha yang dinubuatkan oleh Gautama Buddha. Dinubuatkan bahawa Buddha yang akan datang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, bakal memimpin ribuan masyarakat pandeta yakni bermaksud orang-orang mukmin. Hal ini telah terbukti apabila Rasulullah saw memimpin 10,000 orang mukmin memasuki kota Mekah. Selanjutnya sesudah fatah Mekah, orang-orang mukmin terus bertambah di bawah pimpinan Rasulullah saw.
NOTA : NUBUATAN TENTANG 10,000 ORANG SUCI JUGA TERDAPAT DALAM ALKITAB
NABI MUHAMMAD (SAW) DALAM KITAB SUCI AGAMA YAHUDI DAN AGAMA KRISTIAN
Bersambung dalam JAWAPAN PART 2
Download versi eBook PDF
Ulasan
Catat Ulasan