Langkau ke kandungan utama

Kesilapan Besar Ulama Dalam Memahami Akhir Zaman.




KESILAPAN BESAR ULAMA SIRI 1

KESILAPAN BESAR ULAMA DALAM MEMAHAMI AKHIR ZAMAN

 

AKHIR ZAMAN DAN TANDA-TANDANYA

Apakah erti akhir zaman? Bilakah akhir zaman? Masih lama lagikah akhir zaman?

Di  bawah Ini adalah pertanyaan lumrah di kalangan Umat Islam. Jika dikatakan bahawa sekarang sedang era akhir zaman, umat Islam akan mempertikaikannya dengan soalan seperti:

Macamana dikatakan akhir zaman sedangkan Imam Mahdi belum diutus, dajjal dan ya’juj ma’juj belum mucul? Nabi Isa belum turun dari atas langit?

Atau jika dikatakan Imam Mahdi sudah diutus umat Islam akan mempertikaikannya dengan soalan seperti:

Macamana Imam Mahdi sudah diutus sedangkan dunia belum akhir zaman, dunia belum hendak kiamat, dajjal belum muncul dan Nabi Isa belum turun dari langit diiringi oleh malaikat?

Kekeliruan dalam memahami akhir zaman menyebabkan apabila tiba masanya Imam Mahdi diutus umat Islam tidak akan dapat mengenalinya sebab terhalang oleh kenyataan di atas yakni satu persoalan yang sukar dicari jawapannya dengan tepat.

Persepsi umum bagi Umat Islam tentang TANDA AKHIR ZAMAN ialah “Zahirnya tanda akhir zaman menunjukan bahawa adalah benar dunia ini pasti akan berakhir pada suatu hari nanti yang mana hanya Allah swt sahaja yang tahu masa dan ketikanya dengan pasti. Zahirnya tanda tersebut membuktikan dunia dalam proses menghampiri zaman kehancurannya”, inilah fahaman umat Islam pada umumnya.

 

WAJIB DIFAHAMI

Yang wajib difahami oleh umat Islam ialah apabila zahir sahaja tanda-tanda akhir zaman bermakna itu menandakan umat manusia  dan dunia seisinya sedang berada di dalam rangkulan peringkat akhir zaman yakni ERA AKHIR ZAMAN sedang meniti waktu. Di zaman inilah Imam Mahdi dan Nabi Isa diutus, Dajjal dan Ya’juj Ma’juj muncul. Namun penghalang seterusnya tetap hadir kerana persoalan lain akan timbul pula seperti di bawah ini:

1.      Dajjal makhluk bermata satu, gagah perkasa yang menggerunkan belum muncul.

2.      Nabi Isa diiringi oleh malaikat belum turun dari atas langit.

Banyak lagi persoalan demi persoalan yang bakal timbul dan perlu jawapan yang bernas. Apa yang jelas tidaklah semudah itu Imam Mahdi dan Nabi Isa melaksanakan tugasnya kerana yang akan menjadi penghalang dan malahan menjadi penentang tegar ialah para ulama dan umat Islam itu sendiri. Ini dalah disebabkan oleh kekeliruan dalam memahami pelbagai aspek berkait rapat dengan Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajjal dan Ya’juj Ma’juj serta persepsi ERA AKHIR ZAMAN yang keliru.

 

DEFINISI ILMIAH - AKHIR ZAMAN

Para ahli antropologi telah menyimpulkan bahawa evolusi perkembangan tamadun kehidupan manusia boleh dibahagikan dalam beberapa peringkat. Daripada itu muncullah istilah zaman batu, zaman logam dan sebagainya. Setiap peringkat zaman memakan masa yang begitu lama sehingga ratusan ribu tahun lamanya. Secara ringkasnya zaman boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu Permulaan Zaman, Pertengahan Zaman dan Akhir Zaman.

Dalam konteks akhir zaman, dua bahagian peringkat zaman iaitu Permulaan Zaman dan Pertengahan Zaman tidak begitu relevan untuk dibahas. Dengan mengambil kira kemajuan tamadun manusia yang dicapai pada masa ini adalah penting dibahas bagi mecari kepastian samada zaman sekarang peringkat Akhir Zaman atau peringkat Pertengahan Zaman.

 

JANGKA WAKTU ERA AKHIR ZAMAN AMAT PANJANG

Apakah yang terjadi kepada umat manusia di Akhir Zaman? Apakah ianya hanya berlangsung buat seketika untuk beberapa tahun sahaja? Jawabannya pasti tidak demikian, sepertimana Permulaan Zaman dan Pertengahan Zaman yang memakan masa ratusan ribu tahun lamanya, peringkat Akhir Zaman juga membawa umat manusia meniti waktu yang sangat panjang dan diakhiri dengan tamatnya alam maya ini bersama segenap isinya dan bermulalah kehidupan akhirat. Berapa lama berjalan peringkat Akhir Zaman ini sudah pasti tidak kurang jangka waktunya berbanding dengan peringkat Permulaan Zaman dan Pertengahan Zaman.

 

ULAMA MENGELIRUKAN

Namun para ulama menyebabkan kekeliruan kepada ummah apabila mereka membahagikan tanda-tanda Akhir Zaman kepada tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar tanpa membuat pertimbangan bahawasanya PADA MASA INILAH ERA AKHIR ZAMAN. Menurut mereka Akhir Zaman adalah apabila tanda besar iaitu munculnya makhluk Dajjal bermata satu yang hodoh lagi menakutkan dan diutusnya Imam Mahdi serta nabi Isa turun dari langit. Nabi Isa akan membunuh haiwan babi dan pematahan salib secara besar-besaran. Selain membunuh babi dan mematahkan salib, Imam Mahdi dan Nabi Isa as akan membunuh orang bukan Islam yang tidak mahu memeluk agama Islam.  

Setelah itu tidak lama kemudian dunia pun kiamat maka bermulalah kehidupan akhirat. Satu fahaman yang amat merugikan umat Islam sebab fahaman seperti ini menjadi penghalang utama kepada umat Islam untuk mengenali Dajjal dan Ya’juj wa Ma’juj sebagai musuh dan Imam Mahdi atau nabi Isa sebagai juru selamat daripada Allah swt.

 

MENGENALI ERA AKHIR ZAMAN

Mengenali era Akhir Zaman ini teramat penting sebab di dalamnya terdapat janji Rasulullah saw dan Allah swt tentang kedatangan seorang pembaharu zaman dan penyelamat umat manusia iaitu Imam Mahdi dan Nabi Isa. Seringkali kedengaran orang berkata bahawa Imam Mahdi, Dajjal, Ya’ juj Ma’juj belum muncul kerana belum Akhir Zaman. Apakah benar begitu? Jika umat Islam silap memahami dan mengenali era Akhir Zaman maka apabila Imam Mahdi, nabi Isa, Dajjal dan Ya’juj wa Ma’juj sudah ada di depan mata, umat Islam tetap sahaja mengatakan belum muncul, itu bukan dia kerana belum lagi Akhir Zaman. Jika ini terjadi implikasinya amat merbahaya kerana umat Islam akan menolak serta memusuhi utusan Allah swt iaitu Imam Mahdi dan nabi Isa kerana umat Islam menunggu personaliti lain yang belum tiba. Sebaliknya pula umat Islam akan bersahabat dengan Dajjal dan Ya’juj Ma’juj malahan kedua-dua personaliti perosak ini tanpa disedari diundang masuk ke dalam rumah-rumah umat Islam.

 

SEKARANG ADALAH ERA AKHIR ZAMAN – MENURUT HADIS

Renungkan di antara sabda-sabda Rasulullah saw yang memberi cerminan bahawa era Akhir Zaman sedang berlaku seperti di bawah:

1.      Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali setelah dua golongan besar saling berperang sehingga pecahlah peperangan hebat antara keduanya padahal DAKWAH mereka adalah satu (HR Muslim). Jika peperangn ini sudah terjadi, bermakna era akhir zaman sedang berlangsung. Peperangn ini merujuka kepada PERANG SALIB yang sudahpun terjadi di antara Muslim dan Kristian. DAKWAH MEREKA ADALAH SATU bermakna kedua-duanya ada dasar keyakinan menegakkan agama Allah.

2.      Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah banyak PERISTIWA HARAJ. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, apakah haraj itu? Beliau menjawab: Pembunuhan, pembunuhan (HR Muslim). Ini juga sedang berlaku di depan mata dan amat mengerikan serta menyedihkan.

3.      Dan tinggallah para manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang (HR Muslim). Saban hari disaksikan di mana-mana, keadaan ini lebih parah di negara-negara Barat, biasa terjadi di tepi jalan, di taman-taman dan dalam kenderaan.

4.      PADA AKHIR ZAMAN akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab; “Apabila telah bermaharajalela bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” (HR Ibnu Majah). Bencana alam meragut ribuan nyawa, ketidakadilan mengundang rusuhan dan permusuhan, muzik dikumandangkan tanpa mengira waktu serta tempat dan kemajuan teknologi bedah memberi peluang kepada wajah yang dianggap hodoh dirubah menjadi cantik dan indah dipandang.

5.      Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga (HR Riwayat Ahmad dan Hakim). Demi kepentingan diri serta desakan hidup yang semakin meruncing hubungan mesra kekeluargaan serta persahabatah semakin diketepikan.

6.      Di antara tanda-tanda TELAH HARI KIAMAT ialah akan muncul pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”. Pakaian wanita zaman sekarang mendedahkan aurat yang amat berlebihan.

7.      PADA AKHIR ZAMAN akan MUNCUL PEMBOHONG-PEMBOHONG BESAR yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu (HR Muslim). Berkata dusta dianggap lumrah dewasa ini demi kepentingan peribadi bermula dari golongan bawahan hingga ke peringkat atasan. Kemjuan ICT yang melahirkan saluran media sosial tidak pernah terlintas bahawa ianya akan menjadi medium saluran berita baik dan buruk merentasi Timur dan Barat.

8.      PADA AKHIR ZAMAN akan muncul suatu kaum yang MENCELUP RAMBUT mereka dengan warna hitam seperti ‘bulu merpati’ yang mereka itu tidak akan mencium bau syurga (HR Abu Daud & Nasai). Bukan sahaja warna hitam malahan pelbagai jenis warna rambut dicipta untuk kelihatan lebih cantik dan bergaya.

 

SEKARANG ADALAH ERA AKHIR ZAMAN – MENURUT AL QURAN

Pehatikan pula surah At-takwir: 2-14, surah ini memberi gambaran kondisi akhir zaman di  mana apabila tanda tersebut terjadi maka umat  manusia hendaklah sedar bahawa mereka sedang mengharungi era akhir zaman. Dalam surah ini Allah swt menerangkan dengan sejelas-jelasnya dari titik bermulanya akhir zaman hinggalah kepada titik nokhta di mana alam dilenyapkan dan bermula pula kehidupan akhirat.

1.      Bismillaahirrahmaanirrahim.

2.      Apabila matahari digulung.

3.      Dan apabila bintang-bintang berjatuhan/menjadi suram.

4.      Dan apabila gunung-gunung dihancurkan/dijalankan.

5.      Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan.

6.      Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.

7.      Dan apabila lautan/sungai dijadikan meluap/dialirkan.

8.      Dan apabila bermacam-macam manusia/bangsa dipertemukan.

9.      Dan apabila  bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya.

10. Karena dosa apakah dia dibunuh.

11. Dan apabila catatan-catatan/buku-buku disebarluaskan.

12. Dan apabila langit dibuka.

13. Dan apabila neraka jahim dinyalakan.

14. Dan apabila syurga didekatkan.

BERSESUAIAN DENGAN HADIS-HADIS tersebut di atas, tafsiran surah At-Takwir ini boleh diambil dari dua sudut kondisi iaitu era akhir zaman yang berlaku dalam beberapa waktu lamanya yakni alam kebendaan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini dan juga kondisi di mana alam ini akan berhenti dari fungsinya dan dilenyapkan bagi bermulanya kehidupan di akhirat iaitu kiamat kubra.

Dalam konteks lebih mudah difahami, pembahasan hanya tertumpu kepada tafsiran dari sudut alam kebendaan sahaja. Renungkan tafsirannya:

1.      Apabila matahari digulung - Rasulullah saw dianggap sebagai cahaya Matahari Rohani dan para sahabat atau ulama pewaris nabi diibaratkan sebagai bintang-bintang bercahaya memenuhi ruang angkasa. Ayat ini bermakna apabila tiba satu zaman kegelapan rohani menyelubungi seluruh dunia. Pada masa inilah cahaya Matahari Rohani Rasulullah saw menjadi suram atau hilang sirna. Umat Islam tidak lagi mementingkan amalan hidup berpandukan kepada Al Quran dan sunnah Rasul saw. Tafsiran lain boleh juga menjurus kepada gerhana Matahari dan Bulan berlaku sebagai tanda khusus  diutusnya Imam Mahdi sepertimana termaktub dalam hadis yang diriwayatkan oleh Darul Qutni.

2.      Dan apabila bintang-bintang berjatuhan/menjadi suram – Tafsiran ini didukung oleh sebuah hadis termasyhur, “sahabat adalah laksana bintang-bintang; siapapun dari antara mereka kamu ikuti, kamu akan mendapat pentunjuk yang benar” (HR Baihaqi). Para pemimpin agama dianggap seperti bintang-bintang gemerlapan. Ayat ini memberi gambaran ketika para pemimpin agama dicemari oleh ketidakjujuran, fitnah memfitnah, kehilangan pengaruh dan sebagainya.

3.      Dan apabila gunung-gunung dijalankan/dihancurkan – Dalam industri binaan dan teknologi yang amat maju memudahkan bukit bukau diletupkan dengan  dinamit untuk pembinaan terowong, tanah dan batu batan dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain.

4.      Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan/tidak dipedulikan – Pada suatu  masa dahulu unta-unta bunting adalah sumber kekayaan yang amat penting dan sarana pengangkutan utama. Namun pada hari ini sumber kekayaan lain dan teknologi pengakutan yang lebih canggih seperti kereta, pesawat terbang, keretapi dan lain-lain telah mengatasinya. Keadaan ini juga didukung oleh sebuah hadis, “Unta akan ditinggalkan dan tidak akan dipergunakan lagi untuk berpergian dari satu tempat ke tempat lain” (HR Muslim).

5.      Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan – Lihatlah di pelbagai Negara zoo dijadikan tarikan utama untuk tontonan di mana bermacam-macam binatang liar dikumpulkan.

6.      Dan apabila lautan/sungai dijadikan meluap/dialirkan/ menggelegak – Dalam Industri binaan, sungai-sungai biasanya dipindahkan arah alirannya dengan tujuan untuk mendapatkan kaedah pembinaan yang lebih mudah dan kos lebih murah, sistem pengairan pertanian atau kolam tadahan, janakuasa haidro elektrik dan banyak lagi tujuan lain. Begitu juga lautan dari dua belahan bumi  boleh disatukan sepertimana terusa Suez yang mana siap pembinaannya pada tahun 1869, bagi menghubungkan Laut Merah dan Laut Mediterranean, kejayaan ini telah menjimatkan 7,000km jarak pelayaran.

Pengertian lain ialah laut seperti terbakar menggelegak yang membawa maksud pertempuran-pertempuran di antara kapal-kapal perang besar terbakar seolah-olah laut dimakan api, ini telah terjadi semasa perang dunia pertama dan kedua.

Jika diambil kira tarikh pembinaan terusan Suez dan terciptanya bahan letupan serta pencapaian kemajuan teknologi pengangkutan, memberi gambaran bahawa ERA AKHIR ZAMAN ini telah bermula selewat-lewatnya pada awal abad ke-19.

7.      Dan apabila bermacam-macam manusia/bangsa dipertemukan –Ketika sarana-sarana pengangkutan dan komunikasi berkembang demikian pesatnya memungkinkan perhubungan diantara bangsa-bangsa berlaku dengan pantas. Terkini terdapat tekonologi elektronik canggih seperti facebook, watsapp, sms dan sebagainya di mana umat manusia dapat berinteraksi tanpa sempadan dan tanpa mengira waktu.

Dari segi politik pula terdapat pertubuhan-pertubuhan di mana masyarakat dari pelbagai Negara bertemu dan berbincang seperti United Nation, OIC, NATO, ASEAN dan lain-lain.

8.      Dan apabila  bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya – Di zaman sekarang pembunuhan tanpa diketahui sebabnya begitu berleluasa. Bayi-bayi perempuan dikubur atau dibakar hidup-hidup. Ianya satu jenayah kejam yang amat dahsyat perlu disiasat dan diadili dengan penuh saksama sehingga jika ada keperluan mayat yang sudah dikuburkan akan digali oleh pihak tertentu untuk proses penyiasatan yang lebih lengkap.

9.      Karena dosa apakah dia dibunuh – Pembunuhan  bermaharajalela di mana-mana pada bila-bila masa sahaja, sehingga tidak dapat dipastikan sebabnya seseorang menjadi pembunuh dan puncanya seseorang itu dibunuh.

10. Dan apabila catatan-catatan/buku-buku disebarluaskan – Sistem pengagihan dan penyebaran ilmu yang lebih teratur, mudah dan cepat dalam pelbagai sarana seperti perpustakaan,surat khabar, majalah, radio, tv, atas talian dan lain-lain.

11. Dan apabila langit dibuka – menjelaskan kemajuan pesat yang dicapai pada zaman ini dalam bidang ilmu falak/astronomi, kemajuan yang dicapai amat mengejutkan dunia.

12. Dan apabila neraka Jahim dinyalakan – Apabila perilaku manusia sudah terlalu melampaui batas, bergelimang dengan dosa, ketidakadilan berleluasa maka pelbagai malapetaka dan bencana akan diturunkan oleh Allah swt sebagai azab. Bencana alam seperti banjir, tofan, gempa bumi, gunung berapi. Lebih dahsyat lagi ialah peperangan seperti perang dunia pertama dan kedua. Pada ketika ini terjadi peperangan di pelbagai tempat di mana umat Islam khasnya diazab seperti berada dalam neraka, merempat menjadi pelarian mengemis simpati Negara yang bukan beragama Islam.

13. Dan apabila syurga didekatkan – Kejahilan umat manusia dalam era akhir zaman, menyembah dewa kekayaan dan kedudukan. Walaupun sedikit kebaikan yang dilakukan oleh orang jahil tetapi demi kepentingan peribadi ianya akan dianggap penting dan diberi ganjaran yang tidak sepatutnya dan ganjaran ini dianggap syurga meskipun menyalahi hukum. Di samping itu pula akan tiba masanya di era akhir zaman dalam suasana pergolakan politik, social dan ekonomi yang menggoncangkan keimanan, seorang Pembaharu Zaman iaitu IMAM MAHDI diutus oleh Allah swt, dia akan memanggil umat manusia kepada Allah swt melalui sunnah Rasulullah saw dan kitab suci Al Quran.

Demikianlah penjelasan berkaitan Era Akhir Zaman yang disalah ertikan oleh umat Islam sehingga ramai yang akan terpesong serta terhalang dari mengenali perosnaliti Imam Zaman, nabi Isa  yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman, Dajjal dan Ya’juj wa Ma’juj makhluk perosak iman umat manusia. Inilah akhir zaman yang tidak difahami oleh umat Islam.

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw dan surah At Takwir, Era Akhir Zaman adalah masa kini dan akan terus berlangsung sehinggalah dunia ini dihancurkan oleh pemiliknya.

Kesimpulannya era Akhir Zaman adalah satu masa yang lama seperti juga peringkat Permulaan Zaman dan Pertengahan Zaman. Apabila tanda-tanda era Akhir Zaman sudah ada dan dapat disaksikan ianya membawa beberapa makna signifikan iaitu:

1.      Makna pertama ialah umat manusia sedang melalui peringkat era Akhir Zaman.

2.      Makna kedua ialah Dajjal dan Ya’juj wa Ma’juj sudah muncul dan Imam Mahdi serta nabi Isa diutus pada zaman itu.

3.      Makna ketiga ialah proses berakhirnya alam maya ini sedang berjalan dan bakal bermulanya kehidupan akhirat adalah sesuatu yang pasti akan berlaku pada suatu masa nanti.

4.      Makna keempat ialah dengan menyaksikan kemajuan yang dicapai dan melihat gelagat serta tingkah laku umat manusia selari dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw dan dari penjelasan Al quran, perkara yang pasti dan nyata adalah pada masa kini adalah eranya Akhir Zaman.

 

PADA ERA AKHIR ZAMAN

1.      Muncul  Dajjal dan Yajuj Majuj

2.      Allah swt mengutus Imam Mahdi dan Nabi Isa as.

3.      Berlaku peperangan di antara Imam Mahdi dan Nabi Isa as di satu pihak dan Dajjal di satu pihak yang lain.

Sudah jelas, kini adalah era akhir zaman yang mana kemunculan Dajjal dan Yajuj Majuj tidak boleh dipisahkan. Benarkah Dajjal bermata satu sudah muncul, di manakah Dajjal itu?

KETAHUI SELANJUTNYA DAJJAL DAN YUJUJ MAJUJ SUDAH MUNCUL

 

Sila klik KESILAPAN BESAR ULAMA SIRI 2

© 2020 Info Ahmadiyah

Designed by Open Themes & Nahuatl.mx.