TUDUHAN:
Nabi Muhammad saw dikatakan menikah dengan anak berusia di antara 7 hingga 9 tahun. Oleh itu melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
JAWAPAN
Oleh :
Miljuan Hadjiran
Pengikut Jemaah Muslim Ahmadiyah
Assalamulaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu
Saudara Kristian yang dikasihi...
Marilah kita berdiskusi dengan cara berhemah dan ilmiah dalam persaudaraan sebagai umat dan hamba Allah. Marilah kita elakkan suasana mencari kemenangan, sehingga ada diantara kita akhirnya terpaksa menghujat yang lain, implikasinya kita mencipta permusuhan sesama kita yang mana ini dilaknat Allah swt. Perbedaan pendapat memang bisa berlaku namun bukan menghalang kita untuk memelihara tali persaudaraan, insyallah.
Berhubung dengan pernikahan Hazrat Aisyah ra di mana ada yang mengatakan umurnya hanya 6 tahun, 7 tahun, 8 tahun atau 9 tahun dengan Rasulullah saw yang berumur 50 tahun pada waktu itu yang dipandang serong oleh masyarakat khasnya yang bukan beragama Islam. Saya berpegang teguh kepada fahaman sejati Jemaah Muslim Ahmadiyah (tetapi tidak mewakili Jemaah Muslim Ahmadiyah dan tidak juga mewakili pihak muslim Sunni), akan membawa pandangan yang tentunya bukan dipaksakan kepada sesiapa untuk diterima.
Segala apa juga permasalahan yang berkaitan dengan akidah atau isu agama atau isu duniawi, saya berpegang teguh kepada fahaman Jemaah Muslim Ahmadiyah iaitu mengutamakan Al quran, kemudian Sunnah Rasul Saw, hadis dan akhir sekali pendapat ulama salaf. Apa juga yang dikatakan sebagai sunnah Rasul, hadis (walaupun sumbernya dari hadis sahih sittah) dan pendapat ulama, jika ianya bertentangan dengan Alquran ianya wajib ditolak, yang boleh diterima hanyalah yang selari dengan Alquran. Inilah pegangan Jemaah Muslim Ahmadiyah.
Ketentuan umur Hazrat Aisyah ra semasa pernikahan dengan Rasulullah saw adalah berdasarkan kepada pelbagai versi yang dikatakan sebagai hadis. Untuk makluman, hadis dibukukan secara sistematik lebih 200 tahun setelah kewafatan Rasulullah saw dan tidak ada satupun perawi yang pada kebiasaannya dikaitkan dengan 6 orang pernah bertemu dengan penulis hadis, mereka semuanya sudah meninggal dunia. Adakah kita mahu menerima hadis yang bertentangan dengan Al quran dan sunnah Rasulullah saw? Tentunya tidak.
FAKTA 1 - HADIS YANG MENYOKONG PERNIKAHAN HAZRAT AISYAH RA DI BAWAH UMUR
Riwayat yang paling menonjol berkaitan kisah pernikahan Hazrat Aisyah di bawah umur datang dari Hisham ibn `Urwah. Beliau menetap di Madina sehingga umurnya sudah tua iaitu 71 tahun dan sesudah itu berpindah ke Iraq dan kisah pernikahan ini bukan timbul di Madina tetapi timbul dan datang dari Iraq.
Sebuah buku yang cukup terkenal berjodol Tehzibu’l-Tehzib yang mengandungi catatan para periwayat hadis. Dalam buku ini seorang bernama Yaqub ibn Shaibah mencatatkan bahawa, “Hisham sangat bisa dipercaya, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah pindah ke Iraq” (Tehzi’bu’l-tehzi’b, Ibn Hajar Al- ‘asqala’ni, Dar Ihya al-turath al-Islami, 15th century. Vol 11, p.50). Selanjutnya dalam buku yang sama dijelaskan bahwa Malik ibn Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq, “Saya pernah diberitahu bahwa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq” (Tehzi’b u’l-tehzi’b, IbnHajar Al- `asqala’ni, Dar Ihya al-turath al-Islami, Vol.11, p. 50).
Dalam sebuah buku lain berjodol Mizanu’l-ai`tidal mengandungi riwayat hidup para periwayat hadis Nabi saw di mana tercatat bahawa, “Ketika masa tua, ingatan Hisham mengalami kemunduran yang mencolok” (Mizanu’l-ai`tidal, Al-Zahbi, Al-Maktabatu’l-athriyyah, Sheikhupura, Pakistan, Vol. 4, p. 301).
Kesimpulan:
Berdasarkan kepada rujukan di atas dapatlah disimpulkan bahawa setelah berpindah ke Iraq, INGATAN orang TUA yang bertangungjawab dalam menceritakan umur Hazrat Aisyah ra ketika menikah dengan Rasulullah saw telah mengalami kemunduran LUAR BIASA dan riwayat yang bersumber darinya tidak lagi mempunyai sifat kredibiliti.
FAKTA 2 - RASULULLAH SAW MEMINANG HAZRAT AISYAH RA
Point yang perlu diperhatikan:
Sebelum tahun 610M = Era Jahiliyah
Tahun 610M = Wahyu pertama kepada Rasulullah saw dan Hazrat Abu Bakar menerima Islam
Tahun 613M = Rasulullah saw berdakwah
Tahun 615M = Hijrah ke Abyssinia.
Tahun 616M = Hazrat Umar ra menerima Islam.
Tahun 620M = Dikatakan Rasulullah saw meminang Hazrat Aisyah ra
Tahun 622M = Hijrah ke Madina
Tahun 623/624M = Dikatakan Rasulullah saw menikah/bergaul dengan Hazrat Aisyah ra.
Menurut Al Tabari dalam buku berjodol Tarikhu’l-umam wa’l-mamlu’k (Vol. 4,p. 50, Arabic, Dara’l-fikr, Beirut, 1979, Hazrat Aisyah ra dipinang ketika berumur 7 tahun dan bergaul dengan Rasulullah saw pada usia 9 tahun. Dalam buku yang sama juga dijelaskan bahawa kesemua 4 orang anak-anak Hazrat Abu Bakar ra dilahirkan di zaman Jahiliyah iaitu sebelum era Islam. Era Jahiliyah ialah sebelum tahun 610M. Jika umur Hazrat Aisyah dipinang ialah 7 tahun bermakna Hazrat Aisyah ra lahir pada tahun 613M (tahun dipinang 620M - 7 tahun = tahun 613M) sesudah era Jahiliyah. Jika Hazrat Aisyah ra lahir di era Jahiliyah bermakna beliau dipinang pada umur 10 tahun bergaul dengan Raulullah saw sekurang-kurangnya pada umur 14 tahun.
Kesimpulan:
Walaubagaimanapun kenyataan Al Tabari mengenai umur Hazrat Aisyah ra ketika menikah tidak reliable/tidak boleh diterima sebab berlaku kontradiksi.
FAKTA 3 - UMUR HAZRAT AISYAH RA DIHUBUNGKAN DENGAN UMUR HAZRAT FATIMAH RA
Menurut Ibn Hajar sepertimana tercatit dalam Al-isabah fi tamyizi’l-sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, Vol. 4, p. 377, Maktabatu’l-Riyadh al-haditha, al-Riyadh, 1978, “Fatima dilahirkan ketika Ka`bah dibangun kembali di mana pada waktu itu Rasulullah saw berusia 35 tahun. Adalah juga diketahui Hazrat Fatimah ra berumur 5 tahun lebih tua dari Hazrat Aisyah ra. Jika kenyataan Ibn Hajar adalah factual, bermakna Hazrat Aisyah ra dilahirkan ketika Rasulullah saw berusia 40 tahun iaitu pada tahun 610M. Hal ini memberi petunjuk bahawa ketika menikah dengan Rasulullah saw Hazrat Aisyah berusia 13 atau 14 tahun.
Kesimpulan:
Kenyataan dari Ibn Hajar, Al Tabari, Hisham Ibn Urwah adalah kontradiksi di antara satu dengan lain. Kesimpulannya bahwa riwayat Hazrat Aisyah ra menikah dengan Rasulullah saw pada usia 7 tahun adalah mitos tidak berasas.
FAKTA 4 – UMUR HAZRAT AISYAH DIHITUNG BERDASARKAN UMUR HAZRAT ASMA RA
Menurut Abda’l-Rahman ibn abi zanna’d dalam Siyar A`la’ma’l-nubala’, Al-Zahabi, Vol. 2, p. 289, Arabic, Mu’assasatu’l-risalah, Beirut, 1992, “Asma lebih tua 10 tahun dibanding Aisyah”.
Menurut Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wa’l-nihayah, Ibn Kathir, Vol. 8, p. 371,Dar al-fikr al-`arabi, Al-jizah, 1933, “Asma lebih tua 10 tahun dari adiknya (Aisyah).
Menurut Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wa’l-nihayah, Ibn Kathir, Vol. 8, p. 372, Dar al-fikr al-`arabi, Al-jizah, 1933, “Asma melihat pembunuhan anaknya pada tahun 73 Hijrah....Pada waktu Asma meninggal, dia berusia 100 tahun”
Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani dalam Taqribu’l-tehzib, Ibn Hajar Al-Asqalani,p. 654, Arabic, Bab fi’l-nisa’, al-harfu’l-alif, Lucknow, “Asma hidup sampai 100 tahun dan meninggal pada 73 atau 74 Hijrah.”.
Menurut sebagaian besar ahli sejarah, Asma iaitu Saudara tertua dari Hazrat Aisyah ra berselisih usia dalam 10 tahun. Oleh itu jika Asma wafat pada usia 100 tahun iaitu pada tahun 73 Hijrah bermakna Asma berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah pada tahun 622M.
Jika Asma berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah, bermakna pada waktu itu Hazrat Aisyah ra berusia 17 atau 18 tahun (28 tahun – 10 tahun = 18 tahun). Oleh itu Hazrat Aisyah ra berusia 17 atau 18 tahun ketika menikah dengan Rasulullah saw iaitu pada tahun 623/624M.
Kesimpulan:
Berdasarkan kepada Ibn Kathir dan Abda’l-Rahman ibn abi zanna’d, usia Hazrat Aisyah ra ketika menikah dengan Rasulullah saw adalah 17 atau 18 tahun. Penjelasan ini lebih valid berbanding dengan penjelasan lain.
FAKTA 5 – PERANAN DALAM PERANG BADAR DAN PERANG UHUD
Sebuah riwayat mengenai penyertaan Hazrat Aisyah ra dalam perang Badr disandarkan kepada hadis Muslim, (Kitabu’l-jihad wa’l-siyar, Bab karahiyati’l-isti`anah fi’l-ghazwi bikafir). Hazrat Aisyah ra menceritakan salah satu saat penting dalam perjalanan selama perang Badar, dalam hadis ini beliau berkata, “ketika kita mencapai Shajarah”. Dari kenyataan ini jelas menunjukan bahawa Hazrat Aisyah ra merupakan salah seorang dalam perjalanan menuju Badar.
Sebuah riwayat lain turut menjelaskan penyertaan Hazrat Aisyah ra dalam perang Uhud sepertimana tercatit dalam Bukhari (Kitabu’l-jihad wa’l-siyar, Bab Ghazwi’l-nisa’ wa qitalihinnama`a’lrijal), “Anas mencatat bahwa pada hari perang Uhud, Orang-orang tidak dapat berdiri dekat Rasulullah. [pada hari itu,] Saya melihat Aisyah dan Umm-i-Sulaim dari jauh, Mereka menyingsingkan sedikit pakaian mereka [untuk tujuan pergerakan yang lebih mudah].”
Diriwayatkan dalam Bukhari (Kitabu’l-maghazi, Bab Ghazwati’l-khandaq wa hiya’l-ahza’b), seorang kanak-kanak bernama Ibn `Umar menyatakan bahwa Rasulullah tidak mengizinkannya ikut serta dalam perang Uhud, pada ketika itu, Ibnu Umar berusia 14 tahun. Tetapi ketika perang Khandaq, ketika berusia 15 tahun, Nabi mengizinkan Ibnu Umar ikut dalam perang tersebut.
Berdasarkan riwayat di atas, orang yang berusia dibawah 15 tahun tidak dibenarkan ikut serta dalam peperangan. Namum Hazrat Aisyah ra turut serta dalam perang Badar dan Uhud, bermakna beliau sekurang-kuranganya berusia 15 tahun pada waktu itu.
Kesimpulan:
Hazarat Aisyah ra ikut serta dalam perang Badar dan Uhud menunjukan bahwa beliau bukan berusia 9 tahun pada ketika itu tetapi sekurang-kurangnya berusia 15 tahun. Tujuan para wanita ikut serta dalam peperangan adalah untuk membantu. Jika berusia di bawah 15 tahun sudah tentu bukan membantu malah menambahkan beban. Ini adalah satu lagi bukti bahawa Hazrat Aisyah ra menikah bukan pada usia 9 tahun.
FAKTA 6 – SURAH AL QAMAR DIWAHYUKAN
Menurut beberapa riwayat, Hazrat Aisyah ra dilahirkan pada tahun ke-8 sebelum hijrah. Menurut sumber lain dalam Bukhari, Hazrat Aisyah ra berkata, “Saya seorang gadis muda (Jariyah dalam bahasa Arab) ketika Surah Al-Qamar diturunkan” (Sahih Bukhari, kitabu’l-tafsir, Bab Qaulihi Bal al-sa`atu Maw`iduhum wa’l-sa`atu adha’ wa amarr).
Surah Al Qamar diturunkan pada tahun ke-8 Hijrah (The Bounteous Koran, M.M. Khatib, 1985). Ini bermakna surah tersebut diwahyukan pada tahun 614M. Jika Hazrat Aisyah ra menikah pada usia 9 tahun iaitu pada tahun 623M atau 624M, ini memberi petunjuk bahawa Hazrat Aisyah ra masih bayi yang baru lahir (Sibyah dalam bahasa Arab) pada saat Surah Al-Qamar diwahyukan.
Riwayat dari hadis Bukhari merakamkan bahawa Hazrat Aisyah ra adalah gadis muda (Jariyah), bukan bayi (Sibyah) yang baru lahir ketika surah Al-Qamar diwahyukan. Jariyah dalam bahasa Arab bermaksud gadis muda yang masih suka bermain (Lane’s Arabic English Lexicon). Oleh itu Hazrat Aisyah ra telah menjadi jariyah bukan sibyah (bayi) pada waktu surah Al Qamar diwahtukan iaitu berusia di antara 6 hingga 13 tahun. Oleh itu Hazrat Aisyah telah menjangkau 14 hingga 21 tahun ketika bernikah dengan Rasulullah saw.
Kesimpulan:
Riwayat ini juga membatalkan riwayat pernikahan Hazrat Aisyah ra pada usia 9 tahun.
FAKTA 7 – KATA BAHASA ARAB “BIKR”
Menurut riwayat dari Ahmad ibn Hanbal (Musnad Ahmad ibn Hanbal, Vol. 6, p. .210,Arabic, Dar Ihya al-turath al-`arabi, Beirut), setelah isteri Rasulullah saw yang pertama Hazrat Khadijah wafat, seorang sahabat bernama Khaulah datang menasehati Rasulullah saw agar menikah lagi. Rasulullah saw bertanya Khaulah tentang calon pilihan yang ada dalam fikirannya. Khaulah berkata, “Anda dapat menikahi seorang gadis (Bikr) atau seorang wanita yang pernah menikah (Thayyib)”. Apabila Rasulullah saw bertanya tentang gadis tersebut (Bikr) maka Khaulah menyebutkan nama Hazrat Aisyah ra.
Kata BIKR dalam bahasa Arab tidak melambangkan untuk gadis belia berusia 9 tahun. Kata yang tepat untuk gadis belia yang masih suka bermain-main adalah JARIYAH. Kata Bikr digunakan untuk seorang wanita yang belum menikah serta belum punya pengalaman dengan pernikahan sepertimana dalam bahasa Inggeris VIRGIN.
Kesimpulan:
BIKR dalam bahasa Melayu lebih tepat adalah GADIS iaitu wanita dewasa yang belum ada pengalaman seksual dalam pernikahan. Oleh itu Hazrat Aisyah ra adalah seorang wanita dewasa ketika bernikah dengan Rasulullah saw, bukan anak berusia 9 tahun.
FAKTA 8 – AYAT AN NISA 4 : 5-6
Dalam memecahkan permasalahan pernikahan Hazrat Aisyah ra dengan Rasulullah saw, saya ingin membawa saudara Kristian berfikir secara rasional dan dengan kepala yang dingin untuk menganalisa satu ayat dari Al quran.
Tidak ada ayat yang secara jelas dan spesifik mengizinkan pernikahan seorang anak mengikut umur tertentu. Walaubagaimanapun terdapat satu ayat yang boleh dijadikan panduan oleh umat Islam.
An-nisa 4 : 5-6
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka CUKUP UMUR (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah CERDIK dan BERKEBOLEHAN menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka DEWASA. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan). “
Menurut WHO, yang disebut remaja adalah mereka yang berada pada tahap transisi antara masa kanak-kanak dan dewasa. Batasan usia remaja menurut WHO adalah 12 sampai 24 tahun. Dalam kajian psikologi moden batasan umur dewasa bagi seorang perempuan adalah ketika umurnya menginjak 20 tahun, di mana seorang wanita itu sudah mampu berfikir buruk baik untuk dirinya dan diri pihak yang lain. Namun secara peribadi saya menyaksikan sendiri dalam masyarakat kita terdapat anak-anak gadis berumur 18 tahun yang mampu berfikir setaraf dengan orang yang berumur 25 tahun lulusan sarjana.
Kembali berpandukan kepada Alquran seperti dipaparkan dalam surah di atas, Allah swt memberi nasihat kepada penjaga berkenaan harta milik anak yatim di bawah jagaannya yang perlu diserahkan dengan memastikan anak yatim tersebut sudah dewasa, mampu berfikir dan menjaga dengan baik harta mereka.
Menurut akal rasional kita di zaman moden ini, apakah umur 6 – 10 tahun berada dalam kategori dewasa?
Bagaimanakah seorang nabi di bawah bimbingan Allah swt bernikah dan menggauli anak yang berumur 6-10 tahun? Jika demikian Muhammad (saw) sangat tidak layak untuk memikul tugas seorang nabi dan Rasul Allah swt.
Walaupun berlaku pernikahan di bawah umur pada zaman dahulukala di merata tempat di dunia dan dalam nenek moyang kita sendiri terjadi pernikahan di bawah umur tetapi bukan alasan yang baik dan jitu atau boleh dibanggakan dalam menjernihkan kekusutan pernihakan Rasulullah saw dengan Hazrat Aisyah ra.
Kesimpulan:
Daripada analisa ke atas fakta-fakta yang dipaparkan di atas tidak ada bukti bahawa Rasulullah saw menikahi Hazrat Aisyah ra pada usia 9 tahun. Sekali lagi ditegaskan Hadis-hadis yang bertentangan dengan Al quran tidak boleh diterima dan dijadikan sandaran, ini pegangan Jemaah Muslim Ahmadiyah.
Sekali lagi kita kembali merujuk kepada ayat An Nisa : 5-6 yang menekankan sifat orang DEWASA adalah CERDIK DAN BERKEBOLEHAN MENJAGA HARTANYA. Bermakna kategori dewasa di sini adalah mereka yang sudah mampu menilai buruk baik sesuatu perkara.
Sekurang-kurangnya usia 18 tahun adalah kategori dewasa yang sudah mampu menilai baik buruk sesuatu pekara. WHO menggariskan usia remaja di antara 12 hingga 24 tahun, jika diambil faktor umur di antara 12 tahun dan 24 tahun maka umur pertengahan di antara keduanya ialah 18 tahun.
Pernikahan Hazrat Aisyah ra pada usia 9 tahun teramat menentang hukum kedewasaan yang digariskan oleh Al Quran. Oleh karena itu, cerita pernikahan Hazrat Aisyah ra gadis belia berusia 9 tahun yang dinisbahkan sebagai hadis dari Rasulullah saw adalah mitos semata.
Akhir kata Hazrat Aisyah ra menikah dengan Rasulullah saw bukan pada usia 9 tahun. Fakta yang selari dengan Alquran dan boleh diterima oleh akal yang sihat, pernikahan Hazrat Aisyah ra dengan Rasulullah saw adalah pada usia 18 tahun.
Salam HORMAT dan salam DAMAI
Download ebook dalam format PDF.
Ulasan
Catat Ulasan