Langkau ke kandungan utama

JEMAAT AHMADIYAH – IKTIKAD DAN PERJUANGAN

 JEMAAT AHMADIYAH – IKTIKAD DAN PERJUANGAN

Setelit MTA (Muslim Television Ahmadiyah International), mendirikan rumah-rumah misi dan masjid, sekolah, kolej dan hospital. Jemaat Ahmadiyah secara langsung telah lama melancarkan program mengkihdmati kemanusiaan sedunia melalui penubuhan HUMANITY FIRST iaitu satu badan NGO bertaraf internasional. Melalui program Peace Symposium yang diadakan saban tahun di pelbagai tempat di seluruh dunia, Jemaat Ahmadiyah mempromosikan keamanan sejagat dengan mengetengahkan panduan yang digariskan oleh Al-Quran. Oleh itu, mereka yang beranggapan bahawa dengan wujudnya Jemaat Ahmadiyah menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan umat Islam adalah sesuatu yang sama sekali tidak berasas. Sebaliknya hendaklah difahami bahawa Jemaat Ahmadiyah telah dan sedang berusaha mendirikan sebuah organisasi yang tidak pernah wujud sebelumnya demi perpaduan umat Islam dan kemaraan agama Islam yang bakal menang di atas agama-agama lain. Apakah usaha ini patut dicela atau dihargai?

JEMAAT AHMADIYAH MENGASINGKAN DIRI

Dari Segi Organisasi

Ada yang berpendapat bahawa kewujudan Jemaat Ahmadiyah sama sekali tidak diperlukan dengan alasan bahawa semua yang direncanakan dan dilaksanakan oleh Jemaah Ahmadiyah boleh ditanamkan dalam dada seluruh umat Islam dan seterusnya dilaksanakan. Benarkan pendapat seperti ini?

 

Peranan Jemaat Ahmadiyah didirikan secara analoginya boleh difahami dengan mudah iaitu dengan cara logik. Seorang panglima hanya akan dapat memerintahkan orang-orang tertentu ke medan perang apabila terdapat senarai daftar nama-nama sebagai perajurit. Tanpa pendaftaran, maka tidak mungkin dapat dikerah tenaga untuk memenuhi panggilan ke medan perang. Demikian jugalah Jemaat Ahmadiyah didirikan lebih 100 tahun yang lalu oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as dalam keadaan umat Islam kehilangan arah tanpa seorang pemimpin. Tanpa sebuah Jemaat, pemimpin dan pengikut umat Islam tetap terumbang-ambing meskipun terdapat gagasan terbaik yang harus dilaksanakan demi kemajuan agama Islam dan umatnya. 

 

Ia adalah perkara yang tidak masuk akal jika seruan kepada umat Islam dilakukan di segenap lorong dan pasar dengan memohon mereka agar bersedia menyumbang tenaga, masa dan harta untuk menyebarkan Islam. Majoriti umat Islam pasti memberi sambutan yang dingin, menolak dan tidak bersedia untuk melaksanakan perintah. Atas alasan inilah dan atas perintah Allah Taala, maka telah lahir Jemaat Ahmadiyah. Secara logik juga dapat difikirkan bahawa apabila sesuatu pekerjaan yang besar hendak dilaksanakan maka perkara yang diperlukan terlebih dahulu ialah membentuk sebuah organisasi. Tanpa organisasi yang diketuai oleh seorang pemimpin yang berkaliber, maka pekerjaan yang bersifat global tidak mungkin berjaya dilaksanakan.

 

Ada juga yang berpendapat bahawa boleh sahaja mendirikan Jemaat atau organisasi tetapi hendaklah mengadakan kerjasama dengan yang lain. Ini adalah pendapat yang baik, namun timbul persoalan, adakah setiap orang bersedia diperintah dan menerima perintah? Adakah setiap orang bersedia melakukan pekerjaan besar dan sulit yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga, harta dan nyawa? Pekerjaan semacam ini hanyalah sanggup dilakukan oleh “orang yang tidak waras”, maka orang normal tidak akan pernah sehidup semati dengan orang seperti ini. Hanya orang tidak siuman sahajalah yang sanggup melaksanakan pekerjaan yang maha besar sepertimana yang sedang dilaksanakan oleh Jemaat Ahmadiyah.

 

Hanya orang yang bersih hatinya mampu berfikir dengan adil dan saksama sehingga boleh memahami dan membuat kesimpulan bahawa kaedah yang diambil oleh Jemaat Ahmadiyah mampu membangun satu ummah yang terdiri daripada orang-orang yang bersedia berkorban segalanya untuk Islam. Saban hari terus bertambah jumlah orang yang menggabungkan diri dengan Jemaat Ahmadiyah. Pada suatu hari kelak bagi mereka yang memusuhi Jemaat Ahmadiyah dan Islam secara umumya akan merasa bahawa Islam sudah mempunyai kekuatan yang tidak boleh diganggu. Pada ketika itu sudah terlambat dan tidak ada lagi yang dapat mereka lakukan, kemampuan mereka untuk menyerang Islam sudah berlalu tanpa mereka sedari.

 

Jemaat Ahmadiyah tidak menghalang organisasi lain untuk berjuang sama ada perjuangan politik atau perjuangan dakwah Islami. Namun yang diharapkan ialah organisasi terbabit juga tidak menghalang perjuangan Jemaat Ahmadiyah. Tidak ada paksaan oleh Jemaat Ahmadiyah supaya semua harus bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah. Jika ada yang berpandangan bahawa cara yang dilalui oleh Jemaat Ahmadiyah adalah benar dan ingin menggabungkan diri, maka dengan segala hormatnya dipersilakan. Tidak dinafikan ramai yang menggabungkan diri dengan Jemaat Ahmadiyah kerana berpendapat bahawa Islam harus dibangunkan dan cara Jemaat Ahmadiyah membangunkan Islam adalah di landasan yang benar. Namun sesiapa yang menginginkan kecemerlangan serta kemasyhuran duniawi, Jemaat Ahmadiyah bukanlah tempatnya.

 

Dari Segi Kerohanian

 

Sudah menjadi sunnahtullah apabila umat manusia lebih mementingkan urusan dunia daripada agama maka berlakulah kerosakan akhlak, kepentingan peribadi menjadi keutamaan dan nilai-nilai kerohanian hilang sirna. Dalam situasi seperti ini, Allah Taala pasti mengutus rasulNya dalam kalangan hamba-hambaNya yang terpilih. Ada kalanya rasul yang diutus itu membawa syariat baru dan ada pula ketikanya rasul yang diutus hanya meneruskan syariat rasul sebelumnya. Rasul ini ditugaskan untuk membimbing mereka kembali kepada Allah Taala kerana mereka sudah jauh menyimpang daripada ajaran agama yang diredaiNya. Al-Quran Karim dengan cara luar biasa menekankan berulangkali agar umat manusia memperhatikan dan mengenali segala kemurahan dan kurnia Allah Taala. Kedudukan martabat Allah Taala adalah Maha Tinggi dan martabat seorang insan yang dicipta oleh Allah Taala ada kalanya lebih buruk daripada seekor ulat. Namun demikian harus diketahui bahawa segala sesuatu yang Allah Taala ciptakan mengandungi hikmah dan tidak ada suatu pekerjaan pun yang Allah Taala lakukan tanpa sebab atau tanpa faedah. Allah Taala berfirman dalam Al-Quran Karim:

 


“Dan tidak kami menciptakan langit dan bumi ini dan segala apa yang ada di antara keduanya sia-sia” (Ad Dukhan: 39).

 

Berdasarkan ayat di atas, dijelaskan bahawa penciptaan langit, bumi dan segala yang ada di antara keduanya mempunyai tujuan yang besar dan penuh makna. Sesungguhnya Allah Taala menjelmakan langit dan bumi ini agar umat manusia memanifestasikan segala sifat Allah Taala. Selanjutnya umat manusia adalah mazharNya atau bayanganNya supaya akhirnya manusia itu mampu mengenalNya tanpa perantaraan.

 

Semenjak zaman purba kala hingga kini, Allah Taala telah mengutus rasulNya untuk menjadi mazharNya pada masa dan tempat yang berlainan. Allah Taala pernah menjelmakan sifatNya dengan perantaraan Nabi Adam as, Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Daud as, Nabi Musa as, Nabi Isa Almasih as. Penjelmaan yang terakhir dan maha sempurna ialah penjelamaan Allah Taala dalam diri Nabi Muhammad Rasulullah saw. Penjelmaan segala sifat Allah Taala dalam diri Nabi Muhammad Rasulullah saw adalah secara menyeluruh dan terperinci sama ada dalam bentuk individual mahupun secara kolektif. Demikian cemerlangnya dan begitu agungnya sifat-sifat Allah Taala menjelma ke dunia sehingga seakan-akan wujud Rasulullah saw itu bagaikan matahari. Manakala wujud para Nabi yang terdahulu itu laksana taburan bintang-bintang.

 

Dengan ditutusnya Rasulullah saw, segala syariat sudah sempurna dan semua jalan bagi para Nabi pembawa syariat sudah tertutup. Rasulullah saw telah membawa satu syariat daripada Allah Taala yang sedemikian rupa hingga memenuhi seluruh keperluan dan hasrat keinginan Allah Taala. Namun demikian haruslah difahami bahawa tidak ada jaminan di mana umat manusia tidak akan meninggalkan atau menyeleweng dari jalan yang benar iaitu jalan yang sesuai dengan keinginan suci Allah Taala. Dengan jelas Allah Taala berfirman: 


 

“Allah Taala mengatur peraturanNya dari langit ke bumi, kemudian naik kembali kepadaNya dalam satu hari yang jangkanya seribu tahun menurut perhitungan kamu” (As Sajdah: 6).

 

Ayat ini bermaksud bahawa Allah Taala akan menurunkan KalamNya yang terakhir dan syariatNya yang muktamad dari langit ke bumi. Sesudah lewat satu masa Kalam atau FirmanNya akan mula terangkat dari bumi dan naik ke langit semula. Ini bermakna hikmah yang dibawa oleh Al-Quran menjauh dari dunia ini selama 1,000 tahun. Perkara ini akan lebih mudah difahami dengan merujuk dan merenungkan sabda suci Ralullah saw. Islam pernah mengecapi zaman kegemilangannya selama lebih kurang 300 tahun, Fakta ini diakui oleh para cendekiawan Islam. Kebenaran fakta ini dapat dibuktikan melalui sabda Baginda Rasulullah saw, “Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidakseragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir). Ukuran masa kegemilangan Islam dijelaskan oleh Rasulullah saw iaitu selama tiga abad iaitu lebih kurang 300 tahun dan ia sudah pun sempurna. Setelah tiga abad maka umat Islam mengalami kemunduran yang luar biasa hebatnya dalam pelbagai bidang. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw, “...maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidak seragaman”, umat Islam akan berada dalam kancah kehinaan dan kesengsaraan. Fenomena ini jugalah yang difirmankan Allah Taala dalam As Sajdah: 6. Bagaimanakah ini boleh terjadi? Fenomena ini bukan suatu kebetulan kerana Nabi Agung Junjungan Muhamad saw yang mengkhabarkannya dan sudah pun terbukti kebenarannya.

 

Jika sejarah benar-benar diteliti, zaman akhir kegemilangan Islam ialah apabila kerajaan-kerajaan Islam kehilangan kuasa. Umat Islam benar-benar kehilangan pedoman begitu lama, sepertimana Allah Taala berfirman, “Allah Taala mengatur peraturanNya dari langit ke bumi, kemudian naik kembali kepadaNya dalam satu hari yang jangkanya seribu tahun menurut perhitungan kamu” (As-Sajdah: 6). Oleh itu cantuman sabda Rasulullah saw dan firman Allah Taala dalam As Sajdah: 6 ini memberikan gambaran yang jelas bahawa selepas 300 tahun umat Islam mula mengorak langkah selama 1,000 tahun lamanya dalam kegelapan kerana nikmat-nikmat dan berkat-berkat roh Al-Quran untuk umat Islam diangkat oleh Allah Taala selama 1,000 tahun disebabkan kejahilan umat Islam sendiri. Ini bermakna titik permulaan Allah Taala kembali menurunkan hikmahNya dengan mengutus seorang rasul apabila sudah berlalu jangka waktu selama 1,300 tahun (300 tahun + 1,000 tahun), iaitu bersamaan dengan permulaan abad ke-14 dalam kalendar Islam.

 

Apakah jenis rahsia Allah Taala yang bakal tergenap setelah 1,300 tahun? Jawapannya ialah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw, “Diriwayatkan oleh Hazrat Abu Hurairah ra bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. Ketika surah Jum’ah turun dan ketika sampai kepada ayat “wa akharina minhum lamma yalhaqubihim”, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah saw tidak menjawab sehingga sahabat itu bertanya dua atau tiga kali, kemudian rawi berkata, bersama kami ketika itu ada Salman Farsi (berasal dari Iran), Rasulullah saw meletakkan tangannya di atas bahu Salman Farsi ra sambil bersabda, “Apabila iman (dari orang-orang Islam) telah terbang ke bintang Suraya, maka seorang laki-laki atau lebih dari mereka ini (keturunan bangsa Farsi) akan mengembalikannya” (HR Bukhari, Kitabut Tafsir Surah Jum’ah). Sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah saw iaitu “…Apabila iman telah terbang ke bintang Suraya...”. Selari dengan kehendak Al-Quran, seorang juru terbang dan pembimbing pasti diutus oleh Allah Taala supaya dunia dapat dibebaskan daripada genggaman dan belenggu syaitan dan pemerintahan Ilahi tidak tenggelam untuk selama-lamanya. Oleh itu dengan melihat keadaan dunia dan umat manusia khasnya umat Islam pada ketika ini, kedatangan seorang utusan daripada Allah Taala amat diperlukan.

 

 

SUNNATULLAH SENTIASA BERULANG

 

Apabila umat manusia dilanda krisis moral yang amat dahsyat, maka Allah Taala dengan segera memberi bimbingan dengan mengutus para rasulNya. Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as dan Nabi Isa as telah Allah Taala utus bagi memberikan bimbingan kepada umat mereka. Ia adalah perkara yang amat tidak masuk akal jika ada yang berpendapat bahawa tidak perlu lagi diutus seorang rasul pun sedangkan keruntuhan akhlak bukan sahaja dalam kalangan umat Nabi Besar Muhammad Rasulullah saw bahkan seluruh umat beragama. Apakah Allah Taala sudah tidak lagi berkenan untuk memperbaiki umat manusia pada hari ini?

 

Istimewa buat umat Rasulullah saw kerana terdapat suatu perjanjian daripada Allah Taala bahawa untuk mengawal kepincangan yang kurang serius, maka Allah Taala akan mengutus seorang Mujaddid (pembaharu zaman) pada setiap permulaan abad sepertimana pernah disabdakan oleh Rasulullah saw:


 

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daawud As-Sijistaaniy rahimahullah: Telah menceritakan kepada kami Sulaimaan bin Daawud Al-Mahriy, telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu Wahb, telah mengkhabarkan kepadaku Sa’iid bin Abi Ayyuub, dari Syaraahiil bin Yaziid Al-Mu’aafiriy, dari Abu ‘Alqamah, dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu-, yang mana aku mengetahuinya dari Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini di setiap awal 100 tahun, seseorang yang akan memperbaharui agama ini.” (Sunan Abu Daawud 6/349, Daar Ar-Risaalah Al-‘Aalamiyyah)

 

Penyakit rohani hari ini sudah menjadi amat serius kerana segala penyakit rohani yang pernah dideritai oleh umat para nabi sebelumnya sedang terkumpul pada zaman ini. Sekali lagi akal siuman tidak akan menerima bahawa pada saat ini di mana pelbagai krisis yang amat parah sedang mencengkam bumi dibiarkan kosong oleh Allah Taala dari seorang pembimbing yang berstatus utusan Tuhan. Umat Islam yang begitu alergik dengan munculnya seorang utusan sesudah Rasulullah saw sering memberi alasan bahawa agama Islam telah sempurna dan para ulama ialah warasatul anbiya maka pengutusan seorang rasul sudah tutup. Persoalannya, apakah ada tercatit satu ayat jaminan dalam Al-Quran bahawa keimanan umat Islam tidak akan pernah menyeleweng? Apakah pernah dirakamkan dalam sejarah bahawa untuk mempersatukan umat sudah memadai melalui bimbingan para ulama? Bukankah organisasi ISIS dan Al-Qaeda yang menyebabkan kemusnahan mengerikan yang didalangi oleh mereka yang bergelar ulama? Tidakkah serangan pengebom berani mati yang mengerikan itu dianjurkan oleh mereka yang bergelar ulama?

 

Ia tidak pula masuk akal bahawa untuk menghimpunkan segenap kaum Muslimin agar mereka kembali berdiri di atas landasan agama yang hakiki, seruan dari langit tidak lagi diperlukan. Suatu pekara yang amat mustahil adalah jika ada yang berpendapat bahawa tidak diperlukan seruan dari langit untuk memerintahkan kaum Muslimin keluar dari jurang kegelapan dan lembah kemunduran serta kehinaan. Tuhan yang menciptakan alam persada ini sentiasa menunjukkan sifat pengasihNya dan sifat penyayangNya, Dia telah mengutus Rasulullah saw. Dengan demikian Tuhan yang sama telah melipatgandakan desakan arus sungai Rahim dan KarimNya dan ia adalah kesalahan besar jika ada yang beranggapan bahawa sifat-sifatNya tidak berlaku lagi untuk umat Nabi Muhammad saw. Jika sebelumnya Allah Taala pernah mengasihanim maka Dia seyogianya menunjukkan lebih melimpah ruah kasihNya kepada umat Nabi Muhammad saw, sememangnya demikianlah pada kenyataannya.

 

Al-Quran Karim dan Hadis menjadi saksi bahawa apabila wujud gejala krisis dalam umat Muhammad saw, maka Allah Taala sentiasa mengutus seorang penggembala. Istimewa pula pada zaman akhir ini, seorang mazhar yang utama daripada peribadi Rasulullah saw akan diutus dengan misi khusus untuk membuat reformasi ke arah pembaikan menyeluruh. Utusan ini Allah Taala zahirkan ketika menjelma gejala fitnah Dajjal iaitu era kemenangan bagi agama Kristian dan kekalahan secara zahir bagi agama Islam. Pada masa yang sama, kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka lalu mengekori kebiasaan dan tradisi bangsa lain yang sudah dipengaruhi oleh sang Dajjal.

 

Pada kesempatan lain Rasulullah saw menjelaskan suatu keadaan di mana Islam dan Al-Quran diibaratkan seperti sesuatu barang yang tidak ada nilainya, Rasulullah saw bersabda:



“Islam akan tinggal hanya nama dan Al-Quran akan tinggal hanya tulisan belaka” (Misykat, halaman 33).

 

Lebih 100 tahun yang lampau ketika penguasa Barat diiringi oleh para mubaligh Kristian datang menjajah negeri-negeri di belahan Timur khasnya Benua India. Agama Islam dan umatnya begitu terperosok dan tidak berkemampuan menahan serangan daripada pelbagai penjuru iaitu daripada penganut agama Sikh, Hindu dan Kristian. Tepat pada waktu ini seorang hamba Allah dan pencinta sejati Rasulullah saw bangkit menjadi penghadang kepada kemaraan serangan musuh yang bertubi-tubi. Hamba Allah Taala ini telah mengaku sesuai dengan nubuatan Rasulullah saw menerima mandat daripada Allah Taala bahawa melalui dialah Islam mampu bangkit kembali untuk kedua kalinya. Sebelum kewafatannya sebuah Jemaat harus dibangunkan dan tradisi bai’at sebuah sunnah suci daripada Rasulullah saw dan para Khulafa Rasyidin harus dihidupkan kembali. Jemaat ini mendapat jaminan daripada Allah Taala bahawa ia akan terus hidup hingga dunia kiamat sebagai tanda sempurnanya keitaatan kepada kepimpinan berJemaat yang melahirkan institusi khilafah yang terpelihara.

 

Sesungguhnya Jemaat Ahmadiyah ini tegak berdiri sejalan dengan Sunnah Ilahi dan sesuai dengan nubuatan-nubuatan (khabar-khabar ghaib) daripada Rasulullah saw dan para Nabi sebelumnya. Allah Taala merupakan Zat Yang Maha Mengetahui tentang segala hal yang ghaib dan bagiNya tidak ada rahsia yang tersembunyi dan dalam segala amal perbuatanNya terkandung hikmah yang melimpah ruah. Dengan demikian wajiblah diketahui bahawa pilihan Allah Taala kepada sesiapa pun sebagai Imam Mahdi dan Nabi Isa akhir zaman adalah pasti tepat. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad sebagai utusan yang telah dipilih oleh Allah Taala dan atas perintah Allah Taala telah menerima bai’at dan mendirikan sebuah Jemaat yang diberi nama Jemaat Ahmadiyah. Menerima dan beriman kepada Hazrat Mirza Ghulam Ahmad sebagai utusan Tuhan adalah tuntutan syariat yang bakal membawa kebaikan khususnya kepada kaum Muslimin dan kepada seluruh umat manusia umumnya. Utusan Tuhan ini tidak membawa syariat baru melainkan syariat yang pernah disampaikan oleh Nabi Agung Rasulullah saw yang mana dunia telah membelakangkannya sehingga umat berpecah-belah kepada pelbagai aliran dan mazhab. Syariat yang juga merupakan amanat yang dikemukakan oleh Al-Quran telah diketepikan oleh dunia. Amanat tersebut mengandungi kenyataan bahawa Sang Pencipta alam ini adalah satu Zat Yang Maha Esa, Dia telah menjelmakan insan yang bergelar manusia untuk menzahirkan kecantikanNya dan silaturrahimNya. Melalui insan jelmaanNya, Dia mempamerkan sifat-sifatNya. Manusia telah diberikan tanggungjawab sebagai pengantara sepertimana firmanNya:


 

“Ketika Tuhan engkau berkata kepada malaikat, sesungguhnya Aku akan menjadikan di atas muka bumi ini seorang wakil peribadiKu (Khalifah)” (Al Baqarah: 31).

 

Nabi Adam as bersama keturunannya merupakan khalifah atau wakil daripada Allah Taala. Mereka dijelmakan untuk memanifestasikan sifat-sifat Allah Taala kepada dunia. Oleh itu, ia merupakan kewajiban bagi segenap umat manusia agar mereka membentuk pola kehidupan mereka sesuai dengan sifat-sifat Allah Taala itu. Sebagaimana seorang wakil harus sentiasa menyesuaikan segala tindak-tanduknya kepada kemahuan orang yang diwakilinya. Sebagaimana seorang pesuruh sebelum menyempurnakan suatu pekerjaan yang diperintahkan kepadanya, dia harus meminta petunjuk dari yang memerintahkannya. Demikian pula kewajiban manusia adalah harus mewujudkan hubungan sedemikian rupa sehingga Allah Taala terus memberikan bimbingan dalam setiap langkah dan pekerjaannya. Dia harus mencintai Allah Taala lebih daripada kecintaannya kepada segala sesuatu dan dalam semua urusannya dia serahkan kepada kebijaksanaan Allah Taala.

 

Untuk menyedarkan kembali akan kewajiban setiap individu, maka Allah Taala sesuai dengan janjiNya di akhir zaman telah mengutus Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as yang juga digelar sebagai Masih Mau’ud. Umat manusia hari ini terus-menerus digempuri oleh kekuasaan nafsu syaitan secara zahir dan batin. Oleh itu salah satu daripada tugas Hazrat Mirza Ghulam Ahmad adalah untuk menarik mereka yang berkecimpung dalam urusan keduniaan agar menjadi manusia yang beragama, membina takhta kerajaan Islam dalam hati sanubari dan menempatkan wujud Nabi Muhammad Rasulullah saw dalam mahligai kerohanian. Langkah pertama untuk mewujudkan maksud dan tujuan ini, Hazrat Mirza Ghulam Ahmadi as memperingatkan kaum muslimin betapa pentingnya isi dan bukannya kulit. Dalam hal ini beliau telah menekankan bahawa hukum yang zahir pun tidak kurang pentingnya tetapi tanpa adanya jiwa, kemajuan tidak akan dapat dicapai. Oleh sebab itu Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as mendirikan sebuah Jemaat dan dalam perjanjian bai’atnya telah ditetapkan satu syarat bagi sesiapa yang masuk ke dalam Jemaat Ahmadiyah ini harus berikrar bahawa “Saya akan mendahulukan kepentingan agama dari pada urusan dunia”.

 

 

MENGUJI KEBENARAN HAZRAT MIRZA GHULAM AHMAD AS

 

Jemaat Ahmadiyah terlalu kecil dan tidak ada makna jika dibandingkan dengan jumlah kaum muslimin umumnya. Namun Jemaat Ahmadiyah mampu melakukan suatu pekerjaan yang mana majoriti kaum muslimin tidak berdaya untuk melakukannya. Kemampuan dan kejayaan Jemaat Ahmadiyah dalam menunaikan tanggungjawabnya demi Islam adalah disebabkan usaha gigih serta kemakbulan doa oleh Khalifah serta para pengikutnya. Pendiri Jemaat Ahmadiyah, Hazrat Mirza Ghulam Ahmad begitu yakin bahawa Allah Taala pasti menolongnya dan keyakinan ini diturunkan kepada mereka yang beriman kepadanya.  Hazrat Mirza Ghulam Ahmad telah mengumumkan kepada dunia bahawa Ilham Ilahi dan Kalam Ilahi akan terus berlangsung. Allah Taala sentiasa bercakap-cakap dengan sesiapa saja yang dikehendakiNya kerana Allah Taala sendiri telah mengajarkan doa kepada para hambaNya dalam setiap solat mereka,



“Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah anugerahi nikmat-nikmat kepada mereka…” (Al Fatihah: 7-8).

 

Ia adalah perkara yang tidak masuk akal jika doa yang mana Allah Taala sendiri telah mengajarkannya tidak dikabulkan. Oleh yang demikian, benar atau tidak Jemaat Ahmadiyah, adalah wajib bagi seseorang itu berdoa kepada Allah Taala, wujudkanlah hubungan yang erat dengan Allah Taala melalui doa dan solat. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad bersabda, “Untuk mengakui kebenaran dakwaanku, banyak sekali Allah Taala telah menunjukkan dalil-dalil tetapi aku tidak akan mengatakan kepada kalian, fikirkanlah dan renungkanlah dalil-dalil itu. Jika kalian berkesempatan untuk memikirkan dan merenungkan dalil-dalil itu atau tidak merasa perlu atau mungkin kalian untuk mengambil keputusan dalam masalah ini akal kalian membuat salah, maka aku anjurkan mohon doalah kepada Allah Taala mengenai diriku dan mintalah petunjukNya yakni apabila hal ini benar maka tunjukilah dan apabila hal ini bohong belaka maka jauhkanlah.”

 

Apabila seseorang berdoa seperti yang dianjurkan dengan hati yang bersih tanpa dipengaruhi walau sekelumit kefanatikan, maka dalam beberapa hari sahaja pasti Allah Taala membukakan pintu petunjukNya dan akan memperlihatkan kepadanya kebenaran Hazrat Mirza Ghulam Ahmad. Memohon petunjuk melalui solat dan doa adalah amat sesuai dengan penerimaan akal. Manusia dengan kemampuan akalnya boleh membuat kesalahan dan kesilapan akan tetapi, Allah Taala Yang Maha Bijaksana tidak mungkin keliru dalam memberikan petunjuk kepada hambaNya yang memohon. Apakah saranan oleh seorang pendusta agar memohon petunjuk kepada Allah Taala berhubung dengan kebenaran dakwaanya akan menguntungkannya?

 

Selanjutnya Hazrat Mirza Ghulam Ahmad bersabda, “Apabila kalian tidak puas dengan dalil-dalil ini, janganlah mendengar perkataanku dan janganlah mendengar orang-orang yang menentangku, menghadaplah kepada Tuhan dan kepadaNya tanyakanlah bahawa apakah aku ini benar ataukah dusta. Apabila Allah Taala berkata, bahawa aku ini dusta, maka yakinlah aku pendusta. Akan tetapi apabila Allah Taala berkata bahawa aku benar, maka apa gunanya menolak kebenaranku?”

 

Wahai pencinta kebenaran, betapa tepatnya dan mudahnya cara untuk menguji kebenaran Hazrat Mirza Ghulam Ahmad ini. Apakah kalian lebih cenderung mengambil faedah daripada para ulama atau daripada orang yang menjadi penentang tegar yang sudah tentu mendatangkan kemudaratan serta kerugian kepada kalian? Untuk melihat benda-benda duniawi, Allah Taala telah menganugerahkan sepasang mata untuk manusia. Untuk mengerti selok-belok segala benda di dunia ini kepada manusia, Allah Taala telah menciptakan matahari dan bintang-bintang. Oleh yang demikian, bagaimana mungkin Allah Taala tidak memberikan suatu cara untuk memperlihatkan petunjuk-petunjuk kerohanian? Apabila seseorang mempunyai hasrat untuk melihat benda-benda rohani, Allah Taala, membukakan jalan kepadanya, Allah Taala berfirman dalam Al-Quran Karim:


 “Barangsiapa yang berjuang (dengan maksud untuk bertemu dengan Kami), kepadanya pasti kami akan memperlihatkan jalan yang akan menyampaikannya kepada Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat kebajikan” (Al Ankabut: 70).

 

Adalah suatu kewajiban bagi setiap orang Mukmin untuk memelihara hubungan yang lebih erat dan mendekatkan diri serapat-rapatnya kepada Allah Taala. Orang yang belum mendapatkan taufik untuk menerima petunjuk hendaknya teruslah berdoa agar cahaya kebenaran daripada Allah Taala menyala menyinari hatinya.

 

Wahai para Pencari Kebenaran, telaahlah kitab-kitab suci terdahulu dan sejarah hidup para nenek moyang. Apakah mereka menjalani kehidupan untuk tujuan kebendaan? Apakah segala pekerjaan mereka hanya bergantung kepada usaha-usaha semata? Pada hakikatnya demi meraih kecintaan Allah Taala, maka siang dan malam mereka berusaha melaksanakan amal ibadah dan ada di antara mereka yang telah mencapai kejayaan sempurna dengan memperolehi mukjizat daripada Allah Taala. Cara hidup seperti inilah yang membuatkan mereka lebih hebat dan tersohor daripada kaum-kaum yang lain. Namun pada zaman ini, dari segi apakah yang melebihkan kaum Muslimin daripada umat Hindu, Kristian dan umat lainnya? Jika umat Islam berterusan tertinggal jauh di belakang umat lain, maka apakah gunanya Islam sebagai agama umat ini? Sesungguhnya kelebihan itu sememangnya wujud akan tetapi kaum Muslimin telah melupakannya. Kelebihan tersebut ialah dalam agama Islam iaitu Kalamullah tetap berlaku untuk sepanjang zaman yang membolehkan individu mukmin sentiasa dapat berkomunikasi secara langsung dengan Allah Taala. Inilah anugerah KURNIA yang lahir daripada wujud Nabi Muhammad saw.

 

Hakikat berkat yang terbit daripada wujud Rasulullah saw ialah dengan perantaraan beliau, manusia dapat berhubung dengan Allah Taala secara langsung, hati sanubari manusia dapat melihat wajah Allah Taala, jiwa manusia dapat bersatu dengan Allah Taala serta dapat mendengar firmanNya yang maha merdu. Bagi orang yang mencapai darjat ini, dalam dirinya dapat dilihat tanda-tanda serta mukjizat-mukjizat daripada Allah Taala. Darjat seperti ini hanya dapat diperoleh dengan jalan pengabdian sejati kepada Rasulullah saw. Darjat ini jugalah yang melebihkan status pengikut-pengikut Rasulullah saw daripada umat-umat agama lain. Inilah tujuan utama Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as iaitu memberikan kesedaran dan mengarahkan perhatian umat Islam kepada betapa pentingnya keitaatan kepada Rasulullah saw demi mencapai reda Allah Taala. Dengan perantaraan keitaatan sempurna Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as kepada Rasulullah saw telah membawanya kepada martabat kemuliaan yang mana hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui tahap ketinggiannya.

 

 

MENCAPAI KEJAYAAN ISLAM

 

Penyakit yang melumpuhkan kaum Muslimin adalah amat parah dan penyakit tersebut tidak ubahnya seperti anai-anai yang sedang memakan kayu. Walaupun kemuliaan dunia sudah terlepas daripada pangkuan kaum Muslimin tetapi masih juga dunia yang mereka ingin capai dengan sedaya upaya. Umat Islam majoriti beranggapan bahawa kejayaan Islam itu terletak pada kekuasaan kerajaan. Manakala kemajuan Islam pula umat Islam terus berkhayal bahawa ia terletak pada kemajuan dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Pada hakikatnya Rasulullah saw datang ke dunia ini bukanlah dengan maksud agar mereka yang mengaku muslim mencapai kejayaan duniawi. Sebaliknya Rasulullah saw menanam benih supaya bercambah dalam hati nurani agar menjadi muslim yang sejati, berkualiti sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran Karim:

 


(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita” (Al Baqarah: 113)

 

Berpandukan ayat di atas hendaknya seorang muslim menyerahkan segala urusannya kepada Allah Yang Maha Kuasa dan selera keduniaannya tunduk kepada matlamat keagamaannya. Islam tidak melarang umatnya dalam usaha mencari kekayaan, mencari ilmu, memajukan perniagaan, perindustrian dan pertanian atau berjuang untuk memperkukuh kedudukan negara dan bangsanya. Namun haruslah difahami bahawa Islam mengolah minda umat manusia agar segala sesuatu yang dilakukan semasa hidup adalah menurut acuan keredaan Allah Taala. Rasulullah saw beserta para pengikutnya telah berjuang demi agama tetapi tidaklah bererti bahawa mereka tidak meraih kenikmatan-kenikmatan duniawi. Ia merupakan kewajaran bagi mereka yang berjuang untuk agama pasti dikejar oleh kemewahan dunia. Sebaliknya mereka yang merintis duniawi sebagai faktor utama untuk mencapai kejayaan dalam agama sering menghadapi kegagalan bahkan yang sudah ada sebelumnya ada kalanya terlepas daripada genggaman.

 

Hazrat Mirza Gulam Ahmad as atas perintah Allah Taala telah meneruskan misi Rasulullah saw untuk memandu perhatian dunia ke arah kehidupan beragama. Pada zaman Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as, umat Islam majoritinya mengikuti aliran bahawa untuk memulihkan tenaga yang telah dan sedang melemahkan keadaannya kaum Muslimin harus berusaha untuk memperoleh kekuasaan dunia. Sebaliknya Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menggerakkan satu aliran yang bertentangan dengan aliran sedia ada iaitu umat Islam jika ingin dihormati dan berada di puncak kejayaan harus kembali ke pangkuan agama Allah Taala.

 

Ada kalanya orang beranggapan bahawa Jemaat Ahmadiyah yang didirikan oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as merupakan gerakan sealiran dengan Sufism yang hanya mementingkan ibadah solat dan puasa. Ini adalah anggapan yang terpesong daripada fakta yang sebenar kerana Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as amat menekankan bahawa Islam adalah daripada Allah Taala untuk mencerdaskan akal fikiran umat manusia. Barangsiapa yang mengamalkan ajaran agama dengan penuh kesungguhan hati maka dalam diri orang tersebut akan terbentuk budi pekerti yang luhur serta lahir kecenderungan untuk berbuat amal soleh dan tumbuh semangat berkorban yang amat luar biasa. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad menggesa agar orang-orang mukmin tidak lalai dalam melaksanakan ajaran agama. Ibadah solat, puasa, naik haji ke tanah suci Mekkah, membayar zakat bagi yang layak, kesemuanya wajib dipatuhi sesuai dengan apa yang telah digariskan oleh Al-Quran Karim. 

 

Berhubung dengan ibadah solat, Al-Quran menjelaskan:

 


“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al Ankabut: 46)

 

Oleh itu, jika solat seseorang tidak menghasilkan buah seperti yang diterangkan oleh Al-Quran, maka itu bukanlah solat namanya. Manakala dalam ibadah puasa terdapat ungkapan dalam Al-Quran iaitu “la’allakum tattaqun”, iaitu ibadah puasa itu telah ditetapkan peranannya agar dalam jiwa manusia tertancap ketakwaan dan budi pekerti luhur. Jika seseorang mengerjakan puasa tetapi buah daripada ibadah puasa itu tidak tercapai maka hal itu menggambarkan niatnya tidak lurus. Hasilnya, puasa yang dilaksanakan tidak lain hanya penganiayaan pada diri sendiri dengan mengosongkan perut, berlapar dan dahaga.

 

Mengenai naik haji ke tanah suci Mekkah, Allah Taala berfirman bahawa ibadah ini merupakan suatu pengantara untuk membasmi fikiran-fikiran tercemar dan menjauhkan perselisihan-perselisihan. Oleh itu ibadah haji berfungsi untuk menghentikan kebiasaan mengeluarkan ucapan-ucapan kotor, perbuatan keji dan perselisihan.

 

Manakala zakat Allah Taala berfirman:

 


“Ambilah dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya membersihkan mereka dan mensucikan mereka” (At Taubah: 104). Jelas maksudnya bahawa zakat yang ditetapkan itu adalah semata-mata untuk mencipta kesucian bagi setiap individu dan masyarakat.

 

Selagi buah daripada ibadah-ibadah tersebut belum dikecapi maka penunaian ibadah haji dan membayar zakar itu hanyalah merupakan pameran belaka. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as pernah bersabda bahawa diterimanya ibadah solat, puasa, haji dan zakat apabila seseorang itu dapat menghindari perbuatan-perbuatan keji serta terlarang. Natijahnya menjelma rasa ketakwaan luar biasa sehingga menjauhkan kebiasaan bercakap kotor, perbuatan mungkar dan benci kepada perselisihan.

 

Demikian juga mengenai ibadah-ibadah lainnya, Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as menjelaskan bahawa tidak ada suatu hukum peraturan yang ditetapkan oleh Islam terlepas daripada mengandungi hikmah. Allah Taala tidak dapat dirasa dengan tangan tetapi dapat dijamah oleh perasaan cinta. Apabila Allah Taala memberi perintah kepada mata dan tangan, tujuannya ialah ke arah untuk membersihkan hati sanubari dan emosi-emosi supaya kekuatan-kekuatan yang sedia ada bermukim dalam diri manusia mampu berfungsi untuk melihat Allah Taala serta meraba Zat Allah Taala dengan sepuas-puasnya dan daya-daya yang ada dalam diri manusia itu dapat mendengar suara Ilahi.

 

Ringkasnya Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as telah membuka jalan untuk kemajuan Islam dengan berdirinya Jemaat Ahmadiyah meskipun dipandang kecil tetapi ia merupakan sebuah Jemaat yang tekun dan gigih berjuang dengan mengetepikan urusan keduniaan demi keutamaan urusan agama. Jemaat ini telah merintis kemajuan kerohanian bersumberkan ajaran Islam serta menegakkan “kerajaan rohani” milik Baginda Rasulullah saw. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad as telah menghasilkan karya-karya gedung ilmu yang amat agung. Namun semuanya hanya pelengkap kepada tugas utamanya iaitu mengutamakan agama daripada dunia dan seisinya serta menundukkan segala bentuk meterialisme di bawah kekuasaan rohaniah. Hal ini adalah satu kepastian sebagai jalan kemenangan agama Islam di atas agama-agama lain.

 

Mempertahankan sesebuah negara daripada serangan para musuh dengan menggunakan pelbagai jenis senjata sememangnya dapat dilakukan. Para musuh dapat ditundukkan dengan jalan demikian.  Namun suksesnya Islam untuk menguasai dunia ini hanya akan dapat dicapai dengan cara kerohanian. Negara-negara Islam tidak mempunyai senjata canggih untuk menandingi senjata kuasa besar dunia yang jauh lebih maju. Umat Islam tidak mempunyai kemampuan ilmu sains dan teknologi canggih untuk menyaingi segala yang dimiliki oleh kuasa besar dunia. Negara Islam dan umatnya terlalu miskin papa kedana bagi menandingi kekayaan ekonomi kuasa besar dunia. Sebaliknya negara Islam terlalu banyak bergantung dari pelbagai segi kepada kuasa besar dunia yang nyata tidak mesra dan tidak pula ramah dengan kewujudan agama Islam. Jika kebergantungan ini disentap oleh kuasa besar dunia maka negara Islam bukan sahaja putus harapan malahan terputus saluran nafas untuk kesinambungan hidup.

 

Dalam semua negara Islam, keinginan cara hidup berfoya-foya umat Islam yang dipelopori oleh dunia Barat hanya dapat dilepaskan apabila prinsip keagamaan sejati yang mementingkan kerohanian berbanding duniawi dapat ditanamkan dalam dada setiap individu muslim. Jika ini dapat direalisasikan, sudah pasti sejarah kaum kuffar Mekkah berpusu-pusu menerima Islam akan berulang. Umat daripada agama lain akan berkata sepertimana orang-orang Mekkah di zaman Rasulullah saw menguasai Mekkah. Mereka akan berkata “Lau kanu Muslimin” (Alangkah baiknya jika kita pun jadi Muslimin). Dengan berkata demikian maka lambat laun kata-kata tersebut menjelma menjadi amalan dan akhirnya mereka bergabung ke dalam Islam. Di peringkat awal timbul suatu keinginan lalu diikuti dengan hasrat, kemudian datang suatu tarikan dan akhirnya mereka yang sebelumnya menjauh dari Islam tanpa menyedari dirinya tertarik menuju ke arah nilai-nilai murni Islam. Kecintaannya kepada Islam akan menyelinap ke dalam hati lalu mengalir ke seluruh tubuh. Kemudian orang-orang yang belum memeluk agama Islam pula dengan sendirinya tidak akan segan meniru kelakuan orang-orang Muslim yang bersifat paripurna itu. Akhirnya dunia ini akan dipenuhi oleh orang-orang yang beragama Islam yang akan menguasai seluruh dunia.

 

Wahai para pencari kebenaran yang dikasihi, segala dalil terperinci tidak dapat dipaparkan dalam buku kecil ini. Demikian juga halnya tidak dapat dikemukakan segala sesuatu mengenai tugas suci yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Jemaat Ahmadiyah. Namun apa yang diharapkan semoga dari hati ikhlas suci para pencari kebenaran akan lahir keinginan untuk merenung segala fakta yang terkandung dalam buku ini. Dunia hari ini sedang berada dalam fasa akhir zaman, suatu pertubuhan agama tidak akan berhasil mencapai kemenangan apabila cara yang ditempuhnya hanya dengan jalan keduniaan. Kemenangan kekal agama Islam hanya dapat diraih dengan jalan penyembuhan penyakit bathiniah, pelancaran serta pelaksanaan tabligh dan kesanggupan dalam pengorbanan di bawah naungan KHILAFAT ALA MINHAJINNUBUAH.

 

Wahai para pencari kebenaran, demi kesejahteraan diri, anak cucu, sanak-saudara, bangsa dan tanah air, sambutlah seruan daripada Allah Taala dan berusahalah untuk memahaminya serta melaksanakannya agar Allah Taala dengan serta merta menganugerahkan kurniaNya kepada kalian dan kalian tidak akan ketinggalan dalam derap langkah kemajuan dan kemenangan Islam. Masih terlalu banyak tugas yang harus dilaksanakan, penglibatan kalian amat dinantikan demi penyebaran Islam ke seluruh pelusuk dunia. Ayuh! Bersama-sama saling bantu membantu memikul beban perjuangan demi kemajuan dan kemenangan Islam. Perjuangan ini sungguh sukar, ia memerlukan pengorbanan tidak sedikit, kepahitan terpaksa ditelan dan penghinaan harus ditempuh. Namun ketahuilah bahawa jalan Allah Taala merupakan jalan penuh penderitaan tetapi inilah jalan yang membimbing menuju kehidupan hakiki. Tanpa penderitaan itu manusia tidak akan dapat sampai ke hadirat Tuhan dan tanpa adanya keberanian menanggung penderitaan ini tidak mungkin Islam akan mendapat kemenangan. Tampillah dengan penuh gagah berani! Semoga dengan sama-sama berkorban, Islam akan kembali bernafas dan agama ini yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad Rasulullah saw akan segar bugar semula. Pengorbanan ini bakal diganjar dengan nikmat kelazatan hidup yang kekal abadi di ribaan sang kekasih yang bernama Allah Taala Yang Maha Agung.


SILA KLIK KHALIFAH AHMADIYAH

Ulasan

© 2020 Info Ahmadiyah

Designed by Open Themes & Nahuatl.mx.